Wujudkan panduan, piawaian parti-calon bertanding PRU

- Advertisement -

SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) perlu mempunyai satu panduan dan piawaian dalam menentukan kelayakan parti dan calon bertanding bagi setiap kerusi Parlimen atau DUN dalam pilihan raya.

Perwakilan PAS Negeri Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi berkata, perkara itu agar penelitian yang baik dapat diadakan dalam menentukan parti dan calon untuk bertanding memiliki kemampuan untuk menang.

“Kita tak nak hanya meletakkan calon, sedangkan jentera tidak ada sebab soal calon ni bukan main-main. Dulu tak ada orang nak jadi calon ni, bertolak-tolak jadi calon pilihan raya. Sekarang yang bertongkat pun boleh hilang tongkat. 

“Yang berselerak rambut bila jadi calon, boleh lurus belah tepi. Sebab itu perlu diteliti dengan dengan baik. Daripada sekarang sebab ada kawasan ada parti yang dia tak ada jentera. 

“Hanya seorang-seorang dia bawa dia punya restu pergi jumpa pimpinan, boleh jadi calon,” ujarnya pada sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden dalam Muktamar Tahunan PAS kali Ke-69 di IDCC Shah Alam, di sini sebentar tadi.

Jelas beliau, penilaian kelayakan tersebut penting agar parti dan calon mampu menggerakkan kerja ke arah mencapai kemenangan dan bukannya menyebabkan peluang menang terlepas begitu sahaja.

Ustaz Sallehen mengulas tajuk berkenaan muhasabah pilihan raya di mana menurutnya bukan sahaja mahu melihat kepada keputusan pilihan raya, tetapi keseluruhan persediaan yang berkaitan.

“Jangan sampai kita membiarkan satu-satu kerusi yang kita tandingi, terlepas kepada musuh-musuh kita tanpa kita teliti melalui satu perbincangan yang betul-betul menilai kepada soal kebolehmenangan dengan peratus paling tinggi,” ujarnya.

Beliau terdahulu menyifatkan kemenangan PN pada PRU15 dan PRN enam negeri yang lalu sebagai sejarah dengan jumlah kerusi Parlimen dan DUN terbanyak di mana DUN Selangor menjadi pembangkang terkuat dengan 22 kerusi. – HARAKAHDAILY 21/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -