
SHAH ALAM: Pemerintahan negara diterajui Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) secara jelas menzahirkan segala bentuk kelemahan tatakelola mereka dalam memimpin negara.
Perwakilan Dewan Pemuda PAS, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, satu demi satu kelemahan, kecelaruan, kelesuan, ketidakupayaan PH-BN dalam mentadbir negara terlihat dengan kleptokrasi dan kakistokrasi.
“Mereka dihantui dengan isu-isu integriti dan sebagainya. Maka sebab itu konsep keadilan yang dilaungkan oleh Kerajaan Madani ini dilihat hanya bersifat retorik semata-mata,” bidasnya.
Beliau membahas Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini sebentar tadi.
Tempelaknya, antara bukti terbesar ketidakadilan mereka adalah apabila tidak memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sedangkan terdapat juga penyokong mereka di Parlimen itu.
“Maka saya mengajak kepada penyokong dan pendukung PH yang terseksa yang dizalimi dengan sifat ketidakadilan ini, pada yang akan datang, berikanlah sokongan kepada PN,” serunya.
Kerajaan PH-BN juga bidasnya, membelakangi semangat Federalisme sebagaimana dapat dilihat ke atas negeri Kedah yang dinafikan untuk melaksanakan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).
Begitu juga katanya, pampasan berkaitan pemeliharaan Ulu Muda, manakala Kelantan dan Terengganu pula dinafikan hak royalti petroleum, lalu negeri PN digambarkan sebagai tidak kompeten dan mengemis.
Ustaz Hanif turut menempelak pemimpin PH iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad yang mendakwa Presiden PAS cakap berubah-ubah, sedangkan pemimpin PH terang nyata berjanji tetapi langsung tidak menunaikannya. – HARAKAHDAILY 21/10/2023











