
SHAH ALAM: Ucapan dasar Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Muktamar Tahunan PAS ke 69 menyeluruh dalam situasi pencapaian PAS yang cemerlang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Setiausahanya, Mohamad Noor Mohamad berkata, ini dengan kehadiran negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin-pemimpin PERIKATAN NASIONAL diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kedutaan luar negara.
Beliau berkata penyertaan kedutaan dan NGO dalam dan luar negara mempamerkan penerimaan parti-parti dan masyarakat sivil terhadap keutuhan PAS.
“Dalam situasi saudara-saudara kita di Palestin sedang menghadapi tekanan ganas dan rakus rejim zionis, kehadiran ramai tetamu dari Palestin memberi petanda kepercayaan mereka terhadap sokongan PAS terhadap rakyat mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian muktamar di sini, IDCC, Shah Alam.
Beliau mewakili As-Sabiqun bersetuju dengan saranan Presiden PAS agar semua wakil rakyat PAS sama ada di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri mempamerkan prestasi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Katanya, ini adalah suatu ingatan yang perlu dijadikan `key performance index’ (KPI) bagi memastikan kepercayaan rakyat yang memilih mereka dalam pilihan raya tidak dikhianati dan diabaikan.
Tambah beliau ia demi mengisi kemenangan terutama di empat buah negeri yang dipimpin oleh PAS.
Justeru katanya, Sidang As-Sabiqun akan bersama dengan pihak-pihak lain dalam menumpukan arahan dan tindakan yang di sebut oleh Presiden PAS dalam ucapan dasar.
“Ia memberi keutamaan ke arah penyediaan generasi pelapis kepimpinan di peringkat parti dan kerajaan (Exco dan Dun).
“Sidang As-Sabiqun PAS Pusat mengambil kesempatan mengucapkan sanah helwah kepada Presiden PAS yang menyambut ulang tahun kelahiran ke 79 tahun dengan iringan doa agar terus dikurniakan kesihatan yang berpanjangan untuk terus memimpin parti dan ummah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/10/2023











