Pentadbiran PAS semua peringkat perlu muhasabah setiap masa

- Advertisement -

SHAH ALAM: Semua sayap parti hendaklah terus berperanan di tempat masing-masing mengikut pembahagian Dewan Ulamak, Muslimat, Pemuda, Dewan Himpunan Pendukung PAS, bahkan Sidang Al-Sabiqun yang tidak bersara daripada perjuangan.

- Advertisement -

Justeru, kata Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, peranan pentadbiran PAS di peringkat pusat, negeri sehingga cawangan perlu dimuhasabah setiap masa.

Katanya, apabila menghadapi plilihan raya, dapat dirasakan betapa perlunya semua peringkat berperanan mentadbir urusan dengan baik.

“Kita merasakan betapa cawangan yang lemah tidak mampu menggerakkan jentera pilihan raya dengan berkesan walaupun bantuan datang bertubi-tubi,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-69 di IDCC di sini, hari ini.

Begitu juga, kata beliau apabila berlaku bencana yang memerlukan bantuan kebajikan.

Maka, ujar Tuan Guru usaha menambah keahlian dan cawangan baharu perlu digerakkan secara agresif dan tersusun bagi melebarkan pengaruh PAS dalam kalangan masyarakat.

Tambahnya, peranan sayap parti, jabatan dan semua lajnah perlu digerakkan secara berterusan, bukan bermusim, sehingga dapat dikerahkan bila-bila masa sahaja.

“Syabas kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah yang menjadi negeri terawal melancarkan Tabung Dana PRU16 pada Konvensyen PAS negeri, yang saya hadiri baru-baru ini,” katanya lagi.

Justeru itu, ujar beliau semua anggota parti hendaklah terus menggerakkan program tarbiah, penerangan, gerakan politik semasa, persediaan menghadapi pilihan raya dan kebajikan.

Katanya, kewajipan amar makruf dan nahi munkar harus dilaksanakan dalam semua aspek dan keadaan tanpa menunggu adanya kuasa negeri dan negara, sama ada dengan tangan (berkuasa), lidah dan tulisan (sebagai pembangkang), dengan tetap menunjukkan sikap sepanjang masa dan situasi. Ini merupakan perkara yang terpenting.

“Akhirnya, saya mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada Panitia Muktamar yang dikendalikan oleh pasukan Setiausaha Agung dan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, termasuklah kejayaan melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan PAS kawasan-kawasan, dewan-dewan dan cawangan-cawangan.

“Marilah kita memperkukuhkan saf perjuangan dengan agenda tarbiah yang dilaksanakan di setiap peringkat, seterusnya kita melebarkan pengaruh parti dan kepimpinan dalam masyarakat dengan agenda dakwah dan politik.

“Semoga segala usaha ini diterima oleh Allah sebagai amal yang soleh,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 20/10/2023

- Advertisement -