BPMS: PAS berjaya tawan 4 negeri tambah MP

Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yaakob
- Advertisement -

SHAH ALAM: Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) membuahkan hasil apabila PAS berjaya menawan empat negeri dan menambah majoriti ahli parlimen (MP).

- Advertisement -

Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yaakob berkata, tujuh prinsip dalam BPMS perlu difahami dan dihadam oleh semua pihak.

“Kita melihat usaha pimpinan memahami BPMS kerana kedudukan budaya negara kita yang terdiri dari pelbagai agama dan bangsa.

“Menerusi budaya tersebut, PAS berjaya menambah majoriti ahli parlimen dan menawan empat negeri,” katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) kali ke-63 di IDCC Shah Alam, malam tadi.

Katanya lagi, dasar tersebut mampu menggalakkan penyatuan yang lebih baik ke arah tema yang dibawa pada kali ini.

Sementara itu, Ketua DMPM, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, Islam memberi ruang seluas-luasnya kepada kaum muslimat untuk terlibat dalam usaha amar makruf nahi munkar di peringkat tertinggi negara.

Justeru, kata beliau pihaknya menyeru agar ahli PAS menyedari kehadiran mereka di persada politik bukan untuk menonjolkan diri tanpa matlamat yang jelas.

“Penglibatan muslimat sebagai calon dalam pilihan raya berjaya menterjemahkan keputusan Majlis Syura Ulamak PAS yang memberi ruang kepada mereka dalam arena politik negara.

“Wakil rakyat di kalangan muslimat PAS juga telah mendapat tempat di hati masyarakat dan tampil di medan politik.

“Alhamdulillah dan tahniah DMPM ucapkan kepada calon Muslimat PAS yang telah memenangi PRU dan PRN yang lepas, serta kepada calon muslimat yang belum menang.

“Alhamdulillah dan tahniah juga kepada Adun Muslimat yang dilantik sebagai Exco dan Timbalan Exco dalam kerajaan empat negeri yang diperintah oleh PN,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada muktamar itu.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua muslimat yang terpilih sebagai ahli majlis dan pelbagai jawatan penting di peringkat negeri yang dimenangi.

“Dengan rasa penuh syukur dan rendah hati, DMPM berpuas hati dengan penampilan calon-calon muslimat,” katanya.

Menurutnya, mereka adalah figura yang DMPM angkat dan memiliki kriteria yang diperlukan sebagai calon.

Tambahnya, mereka berkelayakan dari sudut pencapaian akademik, pengalaman dalam gerak kerja jemaah, sahsiah dan kemahiran bersosialisasi dengan masyarakat.

Untuk rekod, seramai tujuh calon muslimat memenangi kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu dan lima orang memenangi kerusi Dun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri. – HARAKAHDAILY 19/10/2023

- Advertisement -