Selar serangan Zionis Israel ke atas Hospital Arab Al-Ahli

- Advertisement -

KEKEJAMAN dan kezaliman rejim Zionis Israel semakin memuncak selepas serangan dilakukan ke atas Hospital Arab Al-Ahli di Bandar Gaza yang menyebabkan kematian kira-kira 500 orang semalam.

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyelar tindakan rejim Zionis Israel dengan serangan demi serangan yang dihalakan ke atas orang awam yang tidak berdosa. 

Seharusnya Wisma Putra turut mengecam tindakan ganas rejim Zionis tersebut dan mengajak solidariti di peringkat antarabangsa untuk menghentikan kekejaman rejim Zionis Israel saban hari.

DUPP juga sekali lagi menyeru NGO, kumpulan sivil serta seluruh masyarakat di negara ini agar bersatu mengecam tindakan rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin. Peperangan yang dilancarkan rejim Zionis Israel sudah melampaui batas sempadan.

Kita wajar mewajahkan bantahan yang berterusan ke atas kezaliman rejim Zionis Israel supaya masyarakat dunia yang lain turut bersama-sama menyuarakan kecaman yang sama. 

Di samping itu DUPP turut menyarankan agar semua premis PAS memasang bendera Palestin separuh tiang sebagai tanda berkabung di atas kematian yang berlaku semalam selain tanda solidariti berterusan PAS terhadap umat Islam di Palestin. 

Sekian, terima kasih.

YB DATO’ USTAZ AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 18/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -