
SEMENANJUNG GAZA: Sekurang-kurangnya 500 orang awam terkorban selepas tentera Zionis Israel mengebom dua buah hospital di Gaza.
Pihak berkuasa Gaza berkata serangan udara Israel pada lewat Selasa (17 Okt) mencatat angka kematian setakat ini yang tertinggi daripada mana-mana insiden tunggal di Gaza dalam serangan keganasan tentera Zionis, mencetuskan protes di Tebing Barat; serta di kedutaan Israel masing-masing di Ankara, Turkiye dan Amman, Jordan.
Menteri kesihatan Pihak Berkuasa Palestin, Mai Alkaila dalam kenyataannya menegaskan Israel telah melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai’ di Hospital al-Ahli Baptist, sebuah kompleks perubatan yang dikendalikan oleh Kristian, membunuh ratusan nyawa dalam kempen pengeboman sengit tentera Zionis pada hari ke 11 hari di Gaza, lapor Reuters.
Pengarah Hospital al-Ahli Baptist mendedahkan Israel telah memberi amaran sebelum serangan terhadap hospital itu.
“Angkatan Tentera Israel (IDF) beritahu kami beri amaran semalam akan jatuhkan dua bom dan berkata: ‘Kenapa kamu tidak mengosongkan hospital (Al-Ahli Baptust) sehingga saat ini?’”, katanya mengenai butir amaran tentera zionis Israel dalam sidang media melalui video dalam platform X, @CensoredMen.
“Sebuah lagi hospital dibom ialah Gaza European Hospital,” kata Pengurus Muslim Care Malaysia-Palestin, Ahmed Abu Ayesh melalui WhatsApp pada jam 5.53 pagi hari ini, Rabu (18 Okt).

Melalui hantaran video dalam WhastApp Abu Ayesh berkenaan, seorang doktor di Hospital Al-Ahli Baptist dirakam berlatar belakang deretan mayat yang dibungkus kain kapan selepas serangan tentera Israel itu berkata: “Ini benar-benar pembunuhan beramai-ramai.”
Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata serangan ke atas hospital itu sebagai ‘belum pernah berlaku dalam skalanya’.
Ia berkata pada Selasa (17 Okt), sebelum ini, telah berlaku 115 serangan ke atas kemudahan penjagaan kesihatan di Gaza dan kebanyakan hospitalnya kini tidak berfungsi.

Berita mengenai serangan di dua hospital di Gaza dan angka kematian yang tinggi mendorong kecaman daripada banyak negara pada malam sejurus lawatan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden ke Israel.
Sehubungan itu, Rusia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menuntut mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Zionis serang sekolah
Terdahulu pada Selasa (17 Okt), PBB dalam kenyataannya berkata serangan Israel telah melanda salah sebuah sekolah yang dikendalikan oleh agensinya, UNRWA di kem pelarian Al-Maghazi di Gaza, lokasi di mana sekurang-kurangnya 4,000 orang berteduh menyebabkan enam orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera.

Sementara Biden berkata dia ‘marah dan sangat sedih dengan pengeboman di hospital di Gaza itu, dan selepas bercakap dengan pemimpin Jordan dan Israel, beliau telah ‘mengarahkan pasukan keselamatan negara saya untuk terus mengumpul maklumat tentang apa yang sebenarnya berlaku’.
Pihak berkuasa kesihatan di Gaza berkata sebelum kejadian Selasa lalu itu sekurang-kurangnya 3,000 rakyat Palestin telah terkorban sepanjang 11 hari pengeboman Israel di Gaza.
Penduduk Gaza yang menjadi pelarian daripada pengeboman Israel telah berkumpul mencari perlindungan di hospital, dengan harapan mereka akan lebih selamat.
Minggu lalu Israel mengarahkan semua orang yang tinggal di bahagian utara Semenanjung Gaza, yang hanya 45 km (25 batu) dan rumah kepada 2.3 juta penduduk, meninggalkan rumah mereka dan pergi ke bahagian selatan.

Namun, serangan udara tentera Zionis telah menerjah sasaran di seluruh kawasan enklaf baik di Utara mahupun Selatan Gaza dalam pada jangkaan serangan darat Israel, yang menyebabkan sebilangan penduduk yang sudah melarikan diri ke selatan Gaza kembali ke utara.
Abbas batal pertemuan dengan Biden
Terrdahulu, Israel telah memotong semua bekalan kuasa, air, makanan, bahan api dan ubat-ubatan ke Gaza sejak serangan Hamas, mempergiatkan sekatan sedia ada di kawasan itu.
Sementara Di Tebing Barat, di mana Pihak Berkuasa Palestin yang diiktiraf di peringkat antarabangsa beroperasi, menyaksikan penunjuk perasaan Palestin bertempur dengan pasukan keselamatan negara itu, yang melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka.
Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas pula telah membatalkan pertemuan dengan Biden. – HARAKAHDAILY 18/10/2023




















