
KUALA TERENGGANU: Persatuan Muay Thai Terengganu dengan kerjasama Terengganu Fight (T-Fight) mengambil inisiatif mengadakan jualan amal baju-T untuk mengumpul dana bagi membantu rakyat Palestin.
Presiden Persatuan Muay Thai Terengganu Najmi Abdullah berkata jualan baju ‘T-Fight SavePalestine’ berharga RM25 sehelai itu akan dijual secara dalam talian di laman Facebook ‘T’Fight’ bermula esok.
“Hasil keuntungan daripada jualan baju-T berkenaan akan disumbangkan sepenuhnya kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang berkredibiliti serta berpengalaman dalam menyalurkan bantuan kepada Palestin.
“Kami mengambil insiatif ini kerana melihat semangat juang rakyat Palestin yang teguh mempertahankan tanah air mereka,” katanya selepas majlis pelancaran baju-T-Fight X Save Palestine, di sini semalam.
Najmi berkata pihaknya menyasarkan untuk menjual 50,000 helai baju-T dalam tempoh dua minggu untuk mendapatkan dana sebanyak RM250,000 untuk disalur segera kepada rakyat Palestin.
“Usaha ini semata-mata untuk rakyat Palestin. Kita cetak baju bermodalkan RM20 dan jual dengan harga RM25, jadi keuntungan yang diperoleh sebanyak RM5 itu kita akan serah semua kepada tabung Palestin.
“Simbolik pemakaian baju-T yang bertulis ‘Save Palestine’ ini adalah sebagai tanda solidariti dan protes rakyat bagi membantah kekejaman dilakukan rejim Zionis terhadap Palestin,” katanya. – BERNAMA











