
KUALA LUMPUR: Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mempersoalkan kewibawaan kerajaan yang membuat keputusan flip-flop (berubah-ubah) berhubung subsidi dan kawalan harga.
Katanya, kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa subsidi dan kawalan harga ayam dan telur akan ditamatkan pada 1 Julai, namun dua minggu kemudian mengubah keputusan itu.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku lagi keputusan flip flop seperti sebelum ini.
“Persoalannya apakah perkara ini tidak berulang untuk kali yang kedua,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Rosol turut meminta penjelasan berhubung sejauh manakah pengapungan harga ayam dan telur tidak menjejaskan kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang akhirnya memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat berikutan nilai Ringgit Malaysia (RM) yang semakin lemah.
“Ketika menjadi ketua pembangkang, Tambun menyatakan bahawa RM lemah kerana kelemahan pengurusan Perdana Menteri ketika itu,” katanya berseloroh.
Menjawab perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan dalam Belanjawan 2024 merupakan keputusan dasar.
“Perubahan yang lalu kerana keputusan awal menghentikan subsidi dibuat, jadi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hanya meneruskan. Cuma apabila sampai rayuan kepada saya, saya minta dilanjutkan kerana belum ada dasar yang jelas untuk menyelesaikan.
“Dalam kes sekarang, pegawai KPKM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bersama Menteri Kewangan, berapa subsidi boleh dijimatkan, berapa bantuan tambahan untuk Sumbangan Tunai Rahmah boleh ditambah, berapa keupayaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membantu dari segi insfrastruktur pemasaran, setelah difikirkan itu semua maka kita umumkan dasar.
“Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan umumkan secara terperinci tarikh perlaksanaan dalam masa terdekat, jadi saya tidak fikir isu flip-flop itu berbangkit,” katanya.
Beliau turut mengakui kelemahan sebagai Perdana Menteri dan merima teguran tersebut.
“Saya boleh perbaiki,” katanya.
Menjawab berhubung kemungkinan kesan kepada IHP, setakat ini katanya, harga pasaran termasuk pasar borong masih rendah.
“Harga di Thailand rendah, maknanya jika ada usaha untuk meningkatkan langkah mitigasi adalah dari pengeluaran stok dan pembelian dari Thailand dengan ini dapat mengekang.” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2023




















