Israel ‘serang’ Gigi Hadid di Instagram

Gigi Hadid telah ‘diserang secara provokatif’ (‘troll’) oleh kerajaan Israel melalui Instagram. (FOTO: MintPress)
- Advertisement -

NEW YORK: Gigi Hadid telah ‘diserang secara provokatif’ (‘troll’) di Instagram oleh kerajaan Israel selepas supermodel kacukan Palestin-Belanda itu berkongsi pandangannya mengenai perang Israel-Hamas di Instagram Story (IGs).

Hadid atau nama sebenarnya Jelena Noura Hadid, 28, berkongsi grafik dalam IGs miliknya yang berbunyi: “Tiada apa-apa Yahudi tentang layanan kerajaan Israel terhadap rakyat Palestin. Mengutuk kerajaan Israel bukanlah antisemitik (prasangka terhadap bangsa Yahudi) dan menyokong rakyat Palestin tidak (bererti) menyokong Hamas.”

- Advertisement -

Dalam ‘serangan’nya itu melalui instagram  @stateofIsrael, menurut laporan Variety, yang ditujukan khusus buat Hadid berbunyi: “Adakah anda tidur seminggu yang lalu? Atau adakah sekadar menutup mata terhadap bayi Yahudi yang disembelih di rumah mereka? Ketidakpedulian kamu sangat jelas tentang pendirian kamu. Kami sedang memerhati kamu.”

Dalam catatan kedua, akaun instagram Israel itu berkongsi imej lantai berlumuran darah dengan permainan kanak-kanak dan menulis kepada Hadid: “Jika anda tidak mengutuk ini kata-kata anda tidak bermakna apa-apa.”

Gigi Hadid yang merupakan anak jutawan kelahiran Palestin yang berhijrah ke Amerika Syarikat, Mohamed Anwar Hadid, tidak sepenuhnya berdiam diri mengenai perang Israel-Hamas, kerana sepanjang minggu lalu  berkongsi kenyataan di IGs miliknya mengenai konflik Hamas-Israel kepada 79.2 juta pengikutnya di Instagram.

“Pandangan saya adalah demi semua mereka yang terjejas oleh tragedi (konflik Hamas-Israel) yang tidak wajar ini, dan setiap hari terlalu banyak  nyawa yang tidak bersalah diragut oleh konflik ini, yang terdiri daripada kanak-kanak,” kongsi Hadid sebelum ini di IGs miliknya.

“Saya mempunyai empati dan kesedihan yang mendalam terhadap perjuangan Palestin dan kehidupan di bawah pendudukan (Israel), ia adalah tanggungjawab yang saya pegang setiap hari.

“Saya juga merasakan tanggungjawab kepada rakan-rakan Yahudi saya untuk menjelaskannya, seperti yang saya lakukan sebelum ini: (bahawa) Walaupun saya mempunyai harapan dan impian untuk rakyat Palestin, tidak satu pun daripada mereka termasuk kemudaratan orang Yahudi. 

“Keganasan terhadap orang yang tidak bersalah tidak selari dengan dan tidak membawa apa-apa kebaikan untuk gerakan ‘Bebaskan Palestin’.

“Sekiranya anda terluka, semasa saya mengucapkan takziah hari ini terhadap orang yang saya sayangi, kedua-dua Palestin dan Yahudi, saya menghantar cinta & kekuatan saya kepada anda sesiapa sahaja dan di mana sahaja anda berada.

“Terdapat banyak perasaan yang kompleks, peribadi dan sah, tetapi setiap manusia berhak mendapat hak asas, layanan dan keselamatan; tidak kira kewarganegaraan, agama, etnik, atau di mana mereka dilahirkan.

“Saya tahu kata-kata saya tidak akan pernah cukup atau mampu menyembuhkan ‘luka’ (penderitaan) yang mendalam bagi ramai yang terkesan, tetapi saya sentiasa berdoa untuk keselamatan nyawa yang tidak bersalah,” tambah Hadid. – HARAKAHDAILY 17/10/2023

- Advertisement -