
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk menjadikan sektor pendidikan tinggi sebagai salah satu enjin pertumbuhan ekonomi yang penting bagi negara.
Sehubungan itu, kata Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib, pengajian tinggi berpotensi sebagai sumber pendapatan negara.
Menurutnya, Malaysia mempunyai banyak institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan mahu pun IPT hasil kolaborasi dengan universiti terkemuka dunia yang lain.
Katanya, adalah sesuatu yang amat-amat merugikan jika kelebihan itu gagal dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kita harus belajar daripada pengalaman negara UK dan Australia yang berjaya memartabatkan pendidikan tinggi mereka bertaraf dunia,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini sebagai mengulas Belanjawan 2024.
Beliau menambah, di Australia, bagi tahun 2022, sektor pendidikan menjana RM86.3 bilion kepada pendapatan negara tersebut dengan pelajar asing sahaja menyumbang RM75.8 bilion daripada nilai tersebut.
Begitu juga, ujarnya di United Kingdom, segmen pengajian tinggi menyumbang RM665.6 bilion kepada ekonomi negara.
Katanya lagi, jika model yang sama dapat dijadikan pedoman dan beberapa pendekatan seperti dasar visa yang lebih mesra graduan asing dan juga kemudahan lain diberikan, pasti usaha itu bakal membuahkan pulangan yang lumayan.
Tambahnya, ramai tokoh ilmuwan dan pemimpin negara seperti Turki, negara-negara Arab, Afrika dan rantau Asia Tenggara adalah dalam kalangan mereka yang pernah mengikuti pendidikan tinggi negara kita.
“Ini menunjukkan kita sangat berpotensi untuk menjadikan sektor pengajian tinggi sebagai sumber penjanaan ekonomi baru buat negara,” ujarnya.
Malaysia juga, katanya berpotensi cerah untuk mewujudkan hub pendidikan serantau sekiranya berjaya memastikan graduan luar dapat berbelanja dalam negara, seterusnya menyumbang kepada kitaran ekonomi negara.
Beliau berkata, kerajaan boleh fikirkan usaha lain untuk menjana pendapatan selain daripada kaedah percukaian sedia ada dan pergantungan daripada hasil minyak dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 17/10/2023











