Colombia usir duta Israel

Presiden, Gustavo Petro menunjukkan solidariti yang tidak berbelah bahagi buat rakyat Palestin. (FOTO: Bricks Magazine/ Daily Sabah)
- Advertisement -

BOGOTA: Colombia menuntut supaya duta Israel ke negara Amerika Selatan, Gali Dagan ‘memohon maaf dan  pergi (keluar dari Colombia)’di tengah-tengah pertelingkahan yang semakin serius susulan kenyataan Presiden, Gustavo Petro yang membandingkan serangan Israel ke atas Gaza dengan penganiayaan Nazi terhadap orang Yahudi.

Menteri Luar Colombia, Alvaro Leyva dalam kenyataan pada Isnin (16 Okt) berkata bahawa Dagan perlu ‘sekurang-kurangnya, meminta maaf dan pergi’ selepas presiden kiri pertama negara itu dan utusan Israel berkenaan terlibat dalam perang mulut di media sosial.

- Advertisement -

Dalam salah satu siaran di platform X, Petro menuduh Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant telah menggunakan bahasa terhadap penduduk Gaza  serupa dengan apa yang ‘dikatakan Nazi tentang orang Yahudi’.

Petro seterusnya menegaskan bahawa ‘masyarakat demokratik tidak boleh membenarkan Nazisme untuk menubuhkan semula dirinya dalam politik antarabangsa’,sambil menambah bahawa wacana kebencian akan membawa kepada ‘pembunuhan beramai-ramai’ (Holocaust).

Kenyataan Presiden Colombia itu dibuat selepas Dagan menggesa beliau untuk mengutuk ‘serangan pengganas (merujuk kepada pejuang Hamas) terhadap orang awam (Israel) yang tidak bersalah’.

Petro dalam jawapannya sebaliknya, berkata, “Keganasan adalah untuk membunuh kanak-kanak yang tidak bersalah, sama ada di Colombia atau di Palestin.”

Selepas itu, utusan Israel menjemput Petro untuk melawat tugu peringatan Holocaust di Baitulmaqdis dan kem kematian Auschwitz-Birkenau. Yang  dikendalikan oleh pengawal Nazi semasa Perang Dunia II; namun beliau dalam kenyataan balas terhadap jemputan  menegaskan: “Saya melihat ia (tugu peringatan Holocaust Israel) disalin di Gaza”, sambil menambah: “Tiada demokrasi di dunia boleh menerima Gaza dijadikan kem tahanan (oleh Israel).

Kenyataan Petro itu kemudian mendorong Israel untuk memanggil duta Colombia, Margarita Manjarrez untuk apa yang disifatkan oleh jurucakap kementerian luar Israel, Lior Haiat sebagai ‘kenyataan bermusuhan dan anti-Semitik’.

Haiat juga menuduh presiden Colombia itu ‘menyatakan sokongan terhadap kekejaman yang dilakukan oleh  Hamas, ‘menyemarakkan anti-Semitisme, menjejaskan wakil-wakil Negara Israel dan mengancam keamanan masyarakat Yahudi di Colombia’.

Sebagai tindak balas kepada kenyataan Haitai, Petro lalu berkata negaranya langsung tidak menyokong ‘pembunuhan beramai-ramai’, sambil menambah bahawa jika keadaan memaksa, Colombia akan menggantung hubungan luar dengan Israel.

Israel merupakan salah satu pembekal utama senjata kepada tentera Colombia, yang pada hujung minggu, berkata ia akan ‘menghentikan eksport keselamatan’ ke Bogota ketika pertelingkahan diplomatik kedua-dua Colombia dan Israel semakin memuncak. – HARAKAHDAILY 17/10/2023

- Advertisement -