
BARU-baru ini Malaysia khususnya pengunjung Mid Valley Southkey, Johor Bahru dikejutkan dengan panggilan ugutan dan ancaman bom daripada seorang pemanggil bukan warga Malaysia yang tidak dikenali.
Pemanggil itu dilaporkan memberi amaran kepada pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut supaya tidak menyokong Palestin, yang merujuk kepada pertempuran di Gaza yang sedang tercetus sekarang ini dengan Israel.
Dewan Pemuda PAS Kawasan Johor Bahru menempelak perlakuan khianat yang menyusahkan ramai pihak ini. Telah nyata bahawa ini adalah perlakuan menjijikkan yang lahir dari akal dan jiwa yang sakit.
Kami juga mengutuk perlakuan ancaman yang diberikan supaya tidak menyatakan sokongan terhadap Palestin!
Sehingga ke hari ini, dilaporkan seramai 2,750 orang rakyat Gaza yang telah terkorban dengan 750 daripadanya adalah kanak-kanak dan jumlah ini makin bertambah. Sebanyak 64 peratus rakyat Palestin yang syahid adalah daripada kanak-kanak dan wanita. Peristiwa ini benar-benar meruntunkan hati. Lalu bagaimana mungkin ancaman ini dapat diterima logik dan kemanusiaan?
Maka, kami menyatakan kebersamaan dan kepercayaan kami kepada pihak berkuasa agar pelampau ini dapat segera ditangkap dan dihukum. Jelasnya perlakuan ini telah mencetuskan ketidaktenteraman kepada umum.
Kami juga ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus utuh menyatakan sokongan penuh kepada penduduk Palestin. Teruskan berdoa dan bermunajat serta mendukung segala langkah kerajaan, NGO-NGO atau mana-mana entiti yang dapat meringankan beban dan penderitaan rakyat Palestin khususnya di Gaza.
Buat rakyat Malaysia yang menyatakan sokongan kepada Israel, ketahuilah bahawa anda adalah penyokong kezaliman dan penindasan Israel ke atas rakyat Palestin. Dan anda telah melumurkan tubuh anda dengan darah rakyat Palestin dan pejuang kebebasan mereka.
Allah tempat kami bergantung, Allah tempat kami mengadu. Semoga Allah segera mengeluarkan rakyat Palestin dari kemelut ini.
ARIF AINUDDIN
Ketua Penerangan Pemuda
Dewan Pemuda PAS
Kawasan Johor Bahru. – HARAKAHDAILY 17/10/2023











