
KANGAR: Big Food Festival yang diadakan di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad bermula Khamis lepas dikunjungi hampir 80,000 pengujung.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, kerajaan negeri mengambil peluang mempromosi Tahun Melawat Perlis 2024-2025 (TMP 2024/2025) sempena program terbabit.
Kata beliau, pihaknya menggunakan peluang dan ruang yang ada bagi mempromosikan Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
“Tahniah penganjur Big Food Festival kerana memilih Perlis menganjurkan festival kali ini,” katanya di sini.
Big Food Festival mengumpulkan peniaga jenama makanan viral yang berakhir semalam. Sebanyak 50 jenama terkenal menyertai festival terbabit.
Wan Badariah juga berkata, bukan mudah jenama top datang ke Perlis bagi mempromosi produk mereka.
“Tidak ketinggalan Kak Wan ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli kerana turut hadir dan mempromosikan TMP 2024-2025,” katanya.
Kehadiran Menteri Besar direbut peluang pengunjung bergambar kenang-kenangan. Malah Mohd Shukri mudah mesra, ramah dan sempoi melayani semua pengunjung. – HARAKAHDAILY 16/10/2023











