
KUALA LUMPUR: Sebanyak sepuluh negeri telah menandatangani perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air.
Menurut Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), penstrukturan itu membolehkan kerajaan negeri mendapat akses kepada pembiayaan secara geran bagi tujuan pembangunan projek-projek sumber air seperti empangan, takungan air pinggiran sungai (TAPS) dan baraj.
NRECC menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man [PN-Kubang Kerian] di Dewan Rakyat, hari ini.
Tuan Ibrahim dalam soalannya meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan jumlah pembiayaan Kerajaan Persekutuan mengikut negeri bagi projek sumber air negeri sejak perjanjian migrasi dimuktamadkan sehingga Jun 2023.
NRECC menyatakan pembiayaan Kerajaan Persekutuan bagi projek sumber air kepada negeri-negeri sejak perjanjian migrasi dimuktamadkan sehingga Jun 2023 iaitu Melaka sebanyak RM1.3 bilion, Negeri Sembilan (RM2.8 bilion), Johor (RM961.8 juta), Pulau Pinang (RM1.9 bilion), Perak (RM1.2 bilion), Kelantan (RM1.67 bilion), Selangor (RM2.67 bilion), Perlis (RM329.9 juta), Pahang (RM1.72 bilion) dan Kedah (RM3.13 bilion). – HARAKAHDAILY 16/10/2023











