
BALING: Kejayaan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), menerima penarafan bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia bagi tahun 2022 sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) yang berdaya saing, merupakan pencapaian yang membanggakan.
Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah baginda bersyukur dengan pencapaian tersebut, kerana ia telah meletakkan UniSHAMS sebaris dengan IPT awam dan swasta lain yang terkemuka di negara ini.
“Beta amatlah berharap agar UniSHAMS akan terus memacu ke arah mencapai kecemerlangan yang lebih membanggakan, di masa hadapan.
“Beta menaruh harapan tinggi agar UniSHAMS sebagai sebuah IPT Islam, milikan penuh kerajaan negeri, akan terus dipelihara sebaiknya, serta diberi suntikan dan sokongan tanpa berbelah bahagi dalam pelbagai aspek seperti pembangunan infrastruktur, penambahbaikan mutu pengajian dan pembelajaran, serta keperluan lain berkaitan, demi menjamin kelangsungan UniSHAMS untuk kekal relevan,” titah baginda.
Sultan Kedah bertitah sedemikian sempena Istiadat Konvokesyen UniSHAMS kali ke-25 di Kampus UniSHAMS Kuala Ketil dekat sini, hari ini.
Turut berangkat, Sultanah Kedah Sultanah Maliha Almarhum Tengku Arif; Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin; dan Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.
Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Baginda bertitah setelah dua dekad penubuhan UniSHAMS, institusi itu tetap mengekalkan prinsip ‘Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan’ dan baginda yakin UniSHAMS akan terus melahirkan individu yang memberikan sumbangan positif kepada masyarakat.
“Beta berasa sukacita kerana UniSHAMS telah berjaya melahirkan graduan, yang memiliki kemampuan daya saing… Graduan UniSHAMS telah dididik untuk menjadi seorang ilmuan yang terlatih, yang boleh berkongsi ilmu, serta menjadi teladan dan sumber inspirasi kepada semua orang.
“Mereka juga dididik untuk menjadi seorang pemimpin dalam pelbagai kegiatan masyarakat, di samping menjadi seorang ahli fikir yang dapat memimpin pelbagai lapisan masyarakat serta menjadi individu yang profesional, berkarisma, berakhlak dan komited, dalam memajukan komuniti dan membangunkan ummah,” titah baginda.
Baginda turut menyeru semua alumni UniSHAMS untuk memberi sumbangan kembali dalam pelbagai bentuk sama ada perkongsian idea atau kewangan, bagi memastikan institusi itu terus berkembang.
Istiadat konvokesyen yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini, menyaksikan seramai 1,290 graduan akan menerima diploma dan ijazah dalam bidang masing-masing. – BERNAMA











