Gerakan Islam kuat apabila kerja dakwah kuat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Gerakan Islam kuat apabila kuatnya gerak kerja dakwah,” kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Lajnah Dakwah PAS Pusat atas usaha yang telah dilaksanakan sepanjang Bulan Dakwah iaitu di dalam bulan Rabiul Awwal ini.

Menurutnya, PAS sebagai gerakan Islam mengambil peranan penting dalam menyampaikan dakwah walaupun menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi demi mengembangkan syiar agama Islam secara menyeluruh.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut memetik firman Allah dalam surah Ali-Imran, ayat 110 yang bermaksud: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia. Kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. Tetapi di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik”.

Tambahnya, adalah tanggungjawab umat Islam untuk menyuruh kepada makruf dan melarang kemungkaran.

PAS, ujarnya menyahut perintah itu dengan melaksanakan pelbagai inisiatif di semua peringkat dan dalam pelbagai aspek seperti pendidikan, politik, ekonomi dan sosial.

“Lajnah Dakwah PAS Pusat adalah pemacu kepada usaha-usaha dakwah yang dilaksanakan ini.

“Tahniah saya ucapkan sekali lagi,” katanya dalam hantaran melalui laman Facebook beliau, hari ini. – HARAKAHDAILY 15/10/2023

- Advertisement -