
ALOR SETAR: PAS Kedah hari ini menerima lima bas rombongan pelawat dari Terengganu dan Kelantan. Mereka diraikan pimpinan PAS negeri.
Rombongan yang datang secara berasingan itu mewakili Persatuan Suri Interaktif Kota Bharu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kubang Panjang, Kuala Terengganu, JPKK DUN Bukit Payong Marang, PAS Terengganu dan Persatuan Amal Wanita Sejahtera Terengganu.
Taklimat berkenaan sejarah pembinaan Kompleks PAS Kedah disampaikan Penolong Setiausaha, Ustaz Rosli Azmi. Manakala taklimat kejayaan kerajaan negeri disampaikan wakil Pegawai Khas Menteri Besar.
Pemimpin PAS Kedah yang hadir termasuk Timbalan Pesuruhjaya, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman, Setiausaha Senator Musoddak Ahmad dan Ketua Dewan Muslimat Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Rashidi Razak dan Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood.
Rombongan Pejabat Adun Tanjong Mas (Persatuan Suri Interaktif) diketuai Wan Rohani Ibrahim, Shafie Salleh (JPKK Kubang Panjang) dan Ustaz Zakaria Dagang mewakili PAS Terengganu.
PAS Kedah juga akan menerima empat lagi rombongan iaitu dua dari Selangor dan dua dari Kelantan esok.
Hampir setiap minggu Kompleks PAS Kedah dikunjungi rombongan di mana kebanyakannya daripada Pantai Timur. – HARAKAHDAILY 13/10/2023











