KDNK Kelantan meningkat 4.3 peratus tahun 2022

- Advertisement -

KOTA BHARU: Mengikut laporan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan merekodkan peningkatan kepada 4.3 peratus pada tahun 2022 berbanding 2.4 peratus pada 2021.

- Advertisement -

Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, sektor perkhidmatan menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi iaitu mencatat sebanyak 70.1 peratus dan diikuti sektor pertanian 20.8 peratus.

Manakala sektor pembuatan 4.8 peratus, diikuti sektor pembinaan (1.8 peratus) dan sektor perlombongan (1.4 peratus).

“Saya yakin dengan komitmen berterusan Rohm Wako dalam mengembangkan operasi syarikat dapat meningkatkan sumbangan kepada sektor pembuatan dalam KDNK Kelantan sekaligus meningkat pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kelantan membangun dengan beridentitikan Islam. Pembangunan harus direncana dan digubah mengikut prinsip Ubbudiyyah, (kerja sebagai ibadah, prinsip Mas’uliyyah (tanggungjawab) dan Itqan (ketekunan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pembukaan bangunan baharu bahagian B Rohm Wako di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Turut hadir Duta Besar Jepun ke Malaysia Katsuhiko Takahashi, Speaker Dewan Negeri Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah, mantan Menteri Besar Kelantan Dato’ Bentara Kanan, Ahmad Yakob dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan Dato’ Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman.

Mohd Nassuruddin juga berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah proaktif untuk muncul sebagai hub pelaburan utama kepada pelabur.

Kata beliau minat pelabur akan meningkat dengan adanya kemudahan infrastruktur dan utiliti termasuk rangkaian pengangkutan, perkhidmatan jalur lebar dan bekalan air.

“Saya berharap lebih banyak lagi usaha diambil dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). – HARAKAHDAILY 12/10/2023

- Advertisement -