
KUALA LUMPUR: Kanser payudara kekal menjadi penyakit yang membimbangkan golongan wanita di seluruh dunia dan terdapat banyak perbincangan mengenai bagaimana kesannya boleh berubah-ubah apabila seseorang wanita memasuki fasa menopaus.
Di Malaysia, kanser payudara merupakan pembunuh utama wanita di negara ini dengan statistik mendedahkan bahawa satu daripada 19 wanita menghadapi risiko mengalami kanser berkenaan pada satu tahap dalam hidup mereka, mengakibatkan kira-kira 3,500 individu meninggal dunia setiap tahun.
Pakar Perunding Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Hafizah Zaharah Ahmad berkata adalah penting untuk memahami bahawa menopaus sebenarnya tidak menyebabkan peningkatan risiko seseorang mendapat kanser payudara.
Beliau berkata sebaliknya, risiko kanser payudara meningkat seiring usia dan fasa berbeza dalam kehidupan wanita yang membawa perubahan hormon yang ketara, dengan perubahan itu memainkan peranan penting dalam risiko kanser payudara, terutamanya disebabkan oleh pengaruh hormon seperti estrogen dan progesteron pada tisu payudara.
Dr Hafizah Zaharah berkata paras estrogen yang tinggi, terutamanya dalam tempoh yang berpanjangan, mampu merangsang pertumbuhan sel payudara dan meningkatkan risiko mutasi yang boleh menyebabkan kanser.
“Inilah sebabnya mengapa faktor seperti datang haid awal, lewat mengalami menopaus dan terapi penggantian hormon dikaitkan dengan risiko kanser payudara yang lebih tinggi, kerana ia mendedahkan tisu payudara kepada estrogen untuk tempoh yang lebih lama.
“Kehamilan dan penyusuan bayi juga mengurangkan wanita terdedah terhadap estrogen secara sementara dan mungkin memberi perlindungan terhadap kanser payudara. Risiko bagaimanapun mungkin meningkat selepas melahirkan anak sekiranya kehamilan pertama berlaku ketika wanita itu lebih berusia,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh SMCV.
Pakar Perunding Pembedahan Payudara, Endokrin dan Pembedahan Am SMCV Dr Suziah Mokhtar pula menjelaskan bahawa risiko kanser payudara boleh dikategorikan kepada dua jenis utama – pramenopaus, yang dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara hormon reseptor positif (HR+), dan pascamenopaus dengan terdapat peningkatan risiko untuk kanser payudara hormon reseptor negatif (HR-).
“Kanser payudara cenderung menjadi lebih agresif dalam kalangan wanita yang lebih muda, dalam fasa pramenopaus berbanding wanita yang lebih berusia dan telah menopaus. Menopaus boleh ditangani melalui kaedah perawatan khusus yang mungkin berkesan untuk pesakit,” katanya.
Menurut Dr Suziah, wanita pramenopaus dengan kanser payudara HR+ mungkin lebih sesuai dirawat dengan menggunakan ubat-ubatan yang menyekat tindakan estrogen, manakala bagi wanita pascamenopaus dengan kanser payudara jenis HR+, perubatan alternatif untuk menurunkan paras estrogen juga boleh digunakan.
Beliau berkata apabila wanita pramenopaus HR+ menerima rawatan bagi menurunkan tahap estrogen, mereka mungkin akan mengalami menopaus kimia disebabkan penggunaan ubat yang merangsang otak untuk menyekat ovulasi dan pengeluaran hormon oleh ovari.
Katanya sesetengah wanita juga mungkin mengalami simptom perimenopaus yang teruk seperti ‘hot flashes’ atau muka dan badan berasa panas, masalah tidur dan kekeringan vagina dan mereka boleh menggunakan kaedah gabungan terapi penggantian hormon yang akan mengurangkan simptom dihadapi, namun ia boleh meningkatkan sedikit risiko kanser payudara. Justeru, risiko kanser payudara lebih tinggi sekiranya lebih lama terapi penggantian hormon digunakan.
Sementara itu, Dr Hafizah Zaharah berkata gaya hidup sihat merupakan kunci dalam menguruskan pelbagai isu kesihatan, terutamanya dalam pengurusan penjagaan kanser, sambil menambah bahawa lemak di dalam badan wanita menukar bahan tertentu dalam darah kepada hormon, seterusnya mendorong kepada pertumbuhan kanser payudara.
“Obesiti mengganggu keseimbangan hormon dalam badan. Apabila berat badan kita bertambah, lebih banyak insulin, hormon yang dihasilkan oleh pankreas perlu dirembeskan untuk mengelak kenaikan paras gula yang berlebihan. Selain mengawal paras gula, insulin turut meningkatkan pengeluaran sel dan mengurangkan kematian sel. Ini bermakna terdapat lebih banyak peluang untuk sesuatu yang tidak kena berlaku dalam badan dan untuk kanser tumbuh,” katanya.
Dr Hafizah Zaharah berkata terdapat tanggapan salah berkaitan menopaus dan kanser payudara seperti menopaus bertindak sebagai perisai terhadap kanser payudara atau ujian mamogram tidak perlu lagi dijalani oleh wanita yang telah menopaus.
“Risiko kanser payudara sememangnya meningkat seiring usia dan risikonya lebih tinggi terhadap wanita yang belum menopaus, bagaimanapun ini tidak bermakna wanita menopaus benar-benar kebal kerana sebenarnya kanser payudara boleh dan memang berlaku ketika dan selepas menopaus,” katanya menambah ujian mamogram secara berkala penting bagi mengesan kanser berkenaan oleh wanita menopaus.
Beliau berkata tanggapan salah lain ialah ramai wanita menyangkakan semua ketulan yang ditemukan pada payudara adalah kanser sedangkan kebanyakan ketulan yang dijumpai semasa menopaus adalah benigna (bukan kanser), namun sebarang ketulan baharu yang ditemukan perlu diperiksa dan dinilai oleh pakar perubatan untuk mencegah kanser.
Dalam pada itu, Dr Hafizah Zaharah berpandangan walaupun faktor hormon memainkan peranan penting, terdapat pelbagai risiko kanser payudara antaranya daripada genetik, sejarah keluarga serta faktor persekitaran.
“Mengamalkan diet sihat dengan pengambilan serat yang tinggi serta rendah lemak secara tidak langsung mampu mengurangkan risiko wanita mendapat kanser payudara.
“Wanita yang menjalani rawatan kanser payudara pada peringkat awal juga kurang berkemungkinan untuk menghidap kanser semula jika mereka mengamalkan gaya hidup sihat dengan diet tinggi serat dan rendah lemak,” kata Dr Hafizah Zaharah dan menambah senaman yang mencukupi dan mengawal penambahan berat badan mampu mengurangkan risiko untuk mendapat kanser payudara.
SMCV terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk sebarang pertanyaan, hubungi +603 9772 9191 atau e-mel kepada [email protected].
Maklumat lanjut mengenai SMCV layari www.sunmedvelocity.com.my (Facebook: Sunway Medical Velocity). – BERNAMA











