
KUALA LUMPUR: Masih ramai majikan di negara ini gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia berhubung penubuhan kesatuan sekerja.
Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) berkata, ini membabitkan syarikat dari pelbagai sektor industri seperti elektronik, automotif, pembinaan dan farmasi.
Walaupun syarikat terbabit membenarkan penubuhan kesatuan sekerja, katanya kesatuan sekerja berkenaan adalah yang berbentuk dalaman dan tidak didaftarkan kepada pihak berkuasa.
“Saya mohon kementerian perbetulkan kenyataan saya jika salah, saya difahamkan bahawa syarikat-syarikat yang saya sebutkan ini masih lagi tidak ada kesatuan sekerja.
“Kesatuan sekerja sangat penting sebab banyak perkara perlu dilihat oleh majikan dan kewujudan kesatuan yang mewakili pekerja membolehkan perbincangan dilakukan dengan majikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023 atau Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Akta 262) di Dewan Rakyat, hari ini.
Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Selangor itu menyambut baik langkah kerajaan untuk meminda akta tersebut kerana membantu menjaga kebajikan pekerja dan majikan.
Bagaimanapun, beliau meminta penjelasan kerajaan berhubung hasrat kerajaan melanjutkan tempoh permohonan untuk pendaftaran sesuatu kesatuan sekerja di bawah Akta 262.
“Dari enam bulan kepada 12 bulan secara agregat, saya berpandangan ini adalah tempoh masa yang agak panjang untuk menubuhkan sebuah kesatuan sekerja.
“Saya mencadangkan untuk mengekalkan atau hanya menambah masa tiga bulan menjadikan enam bulan hingga sembilan bulan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2023




















