
SIBU: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, anak muda boleh didekati melalui laman sosial.
“Kita adalah agen penerangan. Jika hendak mendekati anak muda, jangan ketuk pintu rumah, tetapi carilah mereka di media sosial, ujarnya semasa berucap merasmikan Konvensyen PAS Sarawak di sini, semalam. Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Jofri Jaraiee.
Katanya, medium komunikasi itu bukan sahaja merentas usia bahkan juga merentas bangsa dan latar belakang.
Justeru, tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut, medium itu hendahlah digunakan dengan sebaik-baiknya.
Beliau turut mengingatkan semua ahli PAS yang hadir untuk memperkasakan organisasi parti di semua peringkat.
Khairil Nizam juga berharap agar konvensyen kali ini menjadi satu medan muhasabah dan perkongsian bermanfaat untuk semua peserta yang hadir.
Pada konvensyen yang berlangsung sehari itu, enam kertas kerja dibentangkan berkaitan dakwah, pendidikan dan pengurusan organisasi oleh pimpinan PAS kawasan-kawasan. – HARAKAHDAILY 8/10/2023











