
HULU TERENGGANU: Program Inspirasi Suri Sejahtera mendidik wanita ke arah membina keluarga yang berketrampilan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Ustaz Maliaman Kassim berkata, program berkenaan mengumpulkan wanita-wanita bagi membincangkan hal ehwal kekeluargaan.
Menurutnya, program kerjasama dengan Urus Setia Wanita Negeri Terengganu (USWa) itu membawa forum perbincangan bagi menyelesaikan masalah kekeluargaan.
“Kita baru selesai forum bersama dengan Dr Aini berkaitan menyelesaikan masalah kekeluargaan, bagaimana nak bina keluarga yang berketrampilan yang lengkap di kalangan anak-anak isteri, boleh membangunkan institusi keluarga.
“Ini kerana kita nampak institusi keluarga ini merupakan satu institusi kecil di peringkat kampung yang akan menjadi dominan kalau sekiranya dilengkapkan,” katanya kepada Harakahdaily, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, berkata, institusi keluarga merupakan asas kepada pembinaan masyarakat, negeri dan negara.
“Kalau rosak, maka rosaklah pembinaan negeri, negara dari sudut bina insan tidak akan terbina dengan baik sekiranya institusi keluarga ini kita tidak perkemaskan.
“Fokus saya di portfolio keluarga pun memang nak fokus kepada kekeluargaan supaya usaha ibu bapa nak bina anak sebagai ahli generasi baru yang boleh terkedepan mempunyai kualiti,“ katanya. – HARAKAHDAILY 25/9/2023











