Industri nadir bumi mampu tawar 7,000 peluang kerja

- Advertisement -

JERAI: Kerajaan Kedah mendapat penawaran pelaburan daripada sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran dalam industri perlombongan nadir bumi (REE).

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, syarikat berkenaan menyatakan hasrat bekerjasama bagi menjadikan Kedah sebagai hub pemprosesan akhir produk mereka khususnya bagi pasaran Asia, Eropah dan Timur Tengah.

“Produk akhir boleh digunakan dalam pelbagai aplikasi termasuk elektronik, magnet, pemangkin dan bateri memandangkan elemen nadir bumi mengandungi lantanum, cerium, neodimium dan itrium,” katanya pada kenyataan.

Menurutnya juga tiga kawasan industri sederhana dan berat sedia ada iaitu di Gurun (Kuala Muda), Padang Meha (Kulim) dan kawasan Sungai Ular (Kulim) menawarkan hampir 50 ekar keluasan tanah untuk tujuan berkenaan.

Kata beliau kawasan tersebut dipilih berdasarkan kedudukannya strategik dengan adanya rangkaian jalan raya yang menghubungkannya dengan pelabuhan.

“Kerajaan negeri mempelawa syarikat-syarikat sama ada dari dalam atau luar negara yang berminat bagi membina kilang pemprosesan REE di Kedah.

“Industri berasaskan REE adalah antara industri yang terpenting di dunia ketika ini dan dijangka mendapat permintaan tinggi di pasaran pada masa hadapan.

“Ia juga bakal menjadi ‘game changer’ kepada pembangunan ekonomi dan sosial memandangkan impaknya yang besar,” tambah beliau.

Sanusi turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim melarang eksport nadir bumi untuk mengelak berlaku eksploitasi dan kehilangan sumber asli berkenaan.

Oleh itu katanya Invest Kedah Berhad iaitu anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) mengambil inisiatif bagi menarik pelaburan untuk membina kilang baharu berasaskan REE di negeri itu.

Menurutnya Kedah akan menjadi pusat pemprosesan bahan nadir bumi dan secara tidak langsung dapat memberi pulangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM9.5 bilion.

“Saya bersetuju pengumuman Perdana Menteri dan Kedah akan mengambil inisiatif melalui syarikat yang akan menerokai bahan nadir bumi.

“Inisiatif ini bukan sahaja memberi pulangan kepada KDNK negeri dan negara malah dapat membuka peluang pekerjaan kepada 7,000 orang menjelang 2025,” jelas beliau.

Menurutnya juga pembangunan itu mampu menjadi pemangkin menjadikan negeri itu sebagai ‘The Greater Kedah’ selaras dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035. – HARAKAHDAILY 13/9/2023

- Advertisement -