
KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengumumkan Bantuan Khas Penghargaan Penjawat Awam dan pesara kerajaan negeri tahun ini sebanyak RM300.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, pemberian itu sebagai menghargai komitmen yang dicurah mereka bagi memastikan keutuhan kerajaan negeri.
Katanya, bantuan khas itu turut diberi kepada pegawai lantikan politik, termasuk guru-guru pondok, fardu ain, al-Quran dan guru jahitan atau mudharibbah.
“Sebelum saya mengakhiri amanat pada pagi ini, dengan penuh sukacita kita bersetuju untuk mengumum memberikan bantuan khas tahun ini sebanyak RM300.
“Marilah kita terus bekerja dan bersama meningkatkan kualiti dan perkhidmatan berlandaskan dasar Membangun Bersama Islam bagi menuju Kelantan Maju Rakyat Sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Khas Menteri Besar di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad, anggota-anggota Exco, wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Mohd Nassuruddin juga berkata PERIKATAN NASIONAL (PN) diberikan mandat yang besar oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini bagi membentuk sebuah kerajaan stabil.
Pada PRN 12 Ogos lepas, PN Kelantan memenangi 43 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala DUN Galas dimenangi Umno dan Kota Lama (Pakatan Harapan).
“Alhamdulillah, kita telah diberikan mandat yang besar oleh rakyat Kelantan pada Pilihan Raya Negeri ke-15.
“Jadi kita bentuk kerajaan dengan majoriti kukuh dan stabil, kemenangan ini merupakan ukuran tahap keyakinan rakyat terhadap dasar Membangun Bersama Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/9/2023











