Pendidikan kunci tingkat taraf rakyat Perlis

Kursus Asas Penanaman Cendawan Tiram Kelabu, salah satu projek komuniti di Parlimen Padang Besar
- Advertisement -

PADANG BESAR: Walaupun menghadapi kekangan tiada peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang, usaha tetap dijalankan bagi mencari dana menerusi kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat dan agensi.

Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi berkata, itu adalah ilitizam pihaknya bagi membantu mengeluarkan rakyat di parlimen berkenaan daripada kepompong kemiskinan.

- Advertisement -

Katanya, sebahagian dari projek komuniti telah dilaksanakan, sedang berjalan dan sedang diusahakan untuk dana seterusnya.

“Perlis menghadapi konflik untuk berfungsi sebagai Keselamatan Makanan atau Food Security dan pada masa yang sama perlu mewujudkan industri bagi memberi peluang kerjaya kepada rakyat.

“Jadi, kami merasakan negeri ini perlu melahirkan tenaga kerja mahir dan separa mahir sebagai persediaan industri di Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA) dan sekitar serta negeri atau negara berjiran,” katanya.

Beliau juga percaya, menerusi pendidikan dapat menjadi solusi kepada kemiskinan, keciciran pendidikan dan peluang kerjaya yang lebih baik.

“Ini yang menyebabkan kami memperkenalkan Perlis Edutourism untuk solusi tersebut melalui pusat kecemerlangan yang sedang diwujudkan dengan nama Al Jazari Centre of Excellence di Padang Besar.

Antara projek komuniti yang dijalankan di Parlimen Padang Besar.

“Pengalaman yang kami ada bakal dimanfaatkan untuk usaha ini, dan sehingga kini kami telah berbincang dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, NGO, agensi, syarikat dan pihak tertentu dari negeri lain sebagai sinergi bagi usaha tersebut,” katanya.

Justeru itu, katanya pihaknya menzahirkan kesyukuran kerana ramai pihak yang membantu bagi merealisasikan impian beliau.

“Alhamdulillah, mereka membantu tanpa sekupang pun bayaran, mereka hanya ingin mengambil pahala dan balasan baik atas bantuan mereka. Saya tabik hormat dan mendoakan kalian.

“Kita bukan bersaing dengan mereka yang ada dana besar atau ada peruntukan, tetapi lebih kepada usaha membangunkan anak Padang Besar untuk berjaya menjadi Modal Insan Mukmin yang hebat dan turut membantu generasi seterusnya walaupun ketika ini kami menghadapi kekangan kewangan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/9/2023

- Advertisement -