
MUAR: Bekas ketua pasukan Harimau Malaya, Baddrol Bakhtiar turut turun padang sebagai menyokong program ‘Liga penalti LIGA bersama BB7’ yang diadakan di gelanggang futsal Parit Besar, dekat sini, petang semalam.
Baddrol yang juga ADUN Gurun, Kedah hadir program tersebut bersempena dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram.
Sehubungan itu, calon PERIKATAN NASIONAL bagi PRK DUN berkenaan, Dr Mazri Yahya memanfaatkan peluang tersebut sepenuhnya untuk mendekati anak-anak muda yang hadir pada program itu dengan bersukan bersama-sama mereka.
“Insya-Allah doakan, semoga akan banyak lagi program untuk anak muda selari dengan tawaran saya sebagai calon di sini iaitu untuk mengadakan libat urus dengan kesemua persatuan belia dan kelompok penggiat sukan berkaitan keperluan sukan dan rekreasi di sini,” ujarnya dalam hantaran di Facebook, malam tadi.
Perkara itu terkandung dalam Tawaran Simpang Jeram Sejahtera dan Berpendidikan yang telah beliau bentangkan pada sidang media di Markas PAS Kawasan Bakri, semalam.
Menerusi pelan penubuhan kompleks sukan, tawaran itu turut menyatakan untuk menghasilkan Pelan Tindakan Simpang Jeram Cergas lokaliti. – HARAKAHDAILY 7/9/2023











