Sekat laman berita langkah undur ke belakang

Nik Bahrum Nik Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Ketika berada di saf pembangkang Pakatan Harapan (PH) memperjuangkan kebebasan bersuara sehingga mengkritik keras kerajaan sebelum ini.

- Advertisement -

Malangnya selepas mendapat kuasa, perjuangan itu dilupakan. Malah dalam banyak situasi tekanan terhadap kebebasan bersuara lebih teruk berbanding era kerajaan sebelum ini.

Keadaan itu terbukti apabila beberapa laman berita berdepan dengan sekatan termasuk Malaysianow, TV Pertiwi dan UtusanTV.

Malah penerbit TV Alhijrah yang mengulang siar rancangan Hijrahku Laguku yang melibatkan bekas menteri agama Dato’ Idris Ahmad baru-baru ini urut berdepan dengan siasatan dalaman.

Mengulas perkembangan itu Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi PAS Kelantan Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, tindakan menyekat beberapa portal berita dianggap sebagai langkah undur ke belakang.

“Zaman internet dan sosial media yang boleh bergerak sepantas kilat tidak sepatutnya ada lagi tindakan-tindakan kuno seperti itu,” katanya yang juga Adun Chempaka.

Begitu juga kata beliau tindakan pihak atasan memberi amaran kepada TV Alhijrah kerana ulangan penyiaran program lama tidak sepatutnya berlaku.

Ekoran tekanan yang berterusan kerajaan PH-BN tersebut, tokoh media tempatan membantah tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan MultiMedia Malaysia (SKMM) yang dianggap bertindak sebagai ‘abang besar’.

Kumpulan wartawan veteran terbabit termasuk bekas Pengerusi Media Prima Tan Sri Johan Jaaffar; tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin; pengasas Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd Datuk Hussamuddin Yaacob.

Selain itu bekas Pengurus Besar Bernama Datuk Azman Ujang; Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Dr Chamil Wariya; bekas Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong dan bekas pengarang Dr G Manimaran.

Pada kenyataan bersama mereka tidak bersetuju terhadap langkah SKMM kebelakangan ini yang bertindak seolah-olah sebagai ‘abang besar’ dengan sewenang-wenangnya menyekat kandungan (berita) atas talian.

“Kami bimbang sejak akhir-akhir ini pengamal media dipanggil oleh SKMM untuk memberi penjelasan mengenai kandungan yang mereka bawa menerusi portal berita dan laman dalam talian,” katanya.

Portal Harakahdaily tidak terkecuali berdepan dengan tindakan serupa apabila beberapa kali dipanggil pegawai SKMM.

Malah ada ketika mereka memberi notis pendek memanggil pengarang Harakahdaily datang ke pejabat mereka di Putrajaya.

Sementara itu SKMM pada kenyataan semalam mempertahankan tindakan terhadap penerbitan mana-mana kandungan menyiarkan kandungan dianggap tidak tepat dan mengelirukan.

Menurutnya badan itu bertindak berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) bagi memastikan keharmonian masyarakat terpelihara. – HARAKAHDAILY 30/8/2023

- Advertisement -