Pencemaran udara kini risiko utama di Asia Selatan

Keadaan pencemaran udara di Lahore, Pakistan pada 2021.
- Advertisement -

NEW DELHI: Pencemaran udara yang semakin meningkat boleh mengurangkan jangka hayat lebih lima tahun bagi setiap penduduk Asia Selatan, antara kawasan tercemar di dunia, menurut laporan yang diterbitkan semalam menandakan risiko udara berbahaya yang semakin meningkat terhadap kesihatan.

Rantau itu yang merangkumi Bangladesh, India, Nepal dan Pakistan paling tercemar di dunia, menyumbang lebih separuh daripada jumlah tahun hayat yang hilang secara global akibat pencemaran, kata Institut Dasar Tenaga (EPIC) Universiti Chicago dalam Indeks Kehidupan Berkualiti Udara terbaru.

- Advertisement -

Kepesatan perindustrian dan pertumbuhan penduduk menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara di Asia Selatan dengan tahap pencemaran zarah pada masa ini lebih 50 peratus lebih tinggi berbanding permulaan abad dan kini membayangi bahaya yang ditimbulkan oleh ancaman kesihatan yang lebih besar.

Rakyat di Bangladesh, negara paling tercemar di dunia, akan kehilangan 6.8 tahun hidup secara purata setiap orang, berbanding 3.6 bulan di Amerika Syarikat, berdasarkan kajian itu yang menggunakan data satelit untuk mengira kesan peningkatan zarah halus bawaan udara terhadap jangka hayat.

Menurut laporan itu, India menyumbang kepada kira-kira 59 peratus daripada peningkatan pencemaran dunia sejak 2013. Di New Delhi yang berpenduduk padat, bandar mega paling tercemar di dunia, jangka hayat purata penduduk berkurangan lebih daripada 10 tahun.

Mengurangkan tahap zarah bawaan udara global yang merosakkan paru-paru, dikenali sebagai PM 2.5, kepada paras yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) boleh meningkatkan purata jangka hayat sebanyak 2.3 tahun atau gabungan 17.8 bilion tahun hayat, kata laporan itu.

Purata penduduk Pakistan akan memperoleh 3.9 tahun dengan memenuhi garis panduan WHO untuk mengehadkan purata kepekatan PM 2.5 tahunan kepada 5 mikrogram setiap meter padu, manakala di Nepal penduduk akan hidup 4.6 tahun lebih lama jika garis panduan itu dipenuhi, menurut laporan itu.

Sementara itu, China berusaha untuk mengurangkan pencemaran sebanyak 42.3 peratus antara 2013 dan 2021, kata laporan itu, menekankan keperluan bagi kerajaan untuk menjana data kualiti udara yang boleh diakses untuk membantu merapatkan ketidaksamaan global dalam mengakses alat untuk memerangi pencemaran. – REUTERS

- Advertisement -