
ATHENS: Beratus-ratus anggota bomba Greece memerangi kebakaran besar yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang dalam tempoh 10 hari lalu, kebakaran hutan paling meragut nyawa di Eropah setakat musim panas ini apabila gelombang panas yang mencatat rekod menyebabkan kebakaran di seluruh benua Eropah.
Kebakaran yang bermula berhampiran bandar Alexandroupolis, marak tidak dapat dikawal di wilayah Evros, timur laut Greece, diburukkan lagi dengan angin kencang dan suhu tinggi. Kebanyakan mangsa yang terbunuh adalah pendatang asing yang bersembunyi dalam hutan
“Ia adalah definsi yang kami panggil sebagai kebakaran mega,” jurucakap kerajaan Pavlos Marinakis memberitahu dalam taklimat kepada media.
Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus yang disokong Kesatuan Eropah berkata, kebakaran di Evros membabitkan keluasan lebih 77,000 hektar, menjadikan kebakaran ini antara yang terbesar di bumi Eropah dalam beberapa tahun lalu.
“Kami cuba membasahi tanah dengan sedikit hos, untuk perlindungan, tetapi airnya menyejat dalam masa yang singkat,” kata pengusaha madu lebah, Michalis Tsolakis, 40, yang kehilangan 350 sarang lebah di Kampung Kirki, wilayah Evros. “Saya tidak mungkin menyelamatkan apa-apa.”
Penggubal undang-undang dijangka membincangkan kesan kebakaran dan kesiapsiagaan negara di parlimen, Khamis ini. Pasukan bomba dari Cyprus, Jerman, Sweden, Bulgaria dan Slovakia membantu usaha Greece untuk memadamkan kebakaran dalam beberapa minggu lalu.
Sementara itu, kebakaran hutan di pinggir Athens yang bermula Selasa lalu telah reda, kata pasukan bomba.
Berpuluh-puluh orang terpaksa meninggalkan rumah mereka di seluruh Greece ketika beratus-ratus kebakaran hutan meletus di seluruh negara dalam wabak kebakaran besar kedua pada musim panas ini.
Pada Julai lalu, kira-kira 20,000 pelancong asing dipindahkan dari pulau Rhodes apabila kebakaran hutan membakar pusat peranginan dan hotel. – REUTERS











