
SEMPORNA: Muslimat PAS berusaha membina hubungan dengan masyarakat dengan memperkenalkan zikir munajat kepada penduduk setempat.
Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Semporna, Afiqah Adam, pihaknya mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap parti itu.
“PAS bukan hanya parti politik semata-mata tetapi juga mempunyai pelbagai program pembinaan jiwa agar lebih dekat dengan Allah sebagai contoh melalui zikir munajat.
“Ini antara usaha kami untuk memperluaskan dakwah Islam itu sendiri,” katanya selepas program Gelombang Akifi Bersama DMPM anjuran Dewan Muslimat PAS Sabah dengan kerjasama Muslimat Semporna di Kampung Tonggulangan di sini kelmarin.
Menurutnya, mereka akan terus merancang pelbagai program sedemikian dalam usaha memberi kefahaman Islam kepada masyarakat.
Sebelum ini, mereka pernah membuat program itu di Kampung Labuan Senang dan mendapat sokongan daripada penduduk kampung, seterusnya menyasarkan kampung lain pula.
Ketua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tonggulangan, Kamlun Tanjung, bersyukur dan berterima kasih atas penganjuran program yang bermanfaat itu.
“Alhamdulillah kami berbesar hati dan sangat berharap semoga ada lagi program seumpama ini dibuat untuk memberi kesedaran dan peringatan buat umat manusia yang lemah, lebih-lebih masyarakat kampung kami,” ujarnya kepada penganjur.
Dalam program tersebut turut diadakan kuliah duha bertajuk ‘Teladan Berkeluarga Dalam Al-Quran’ yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam. – HARAKAHDAILY 28/8/2023











