Anak muda perlu hayati erti sebenar merdeka

- Advertisement -

PADANG BESAR: Setiap rakyat negara ini wajib menghayati erti kemerdekaan yang dikecapi negara sehingga sekarang.

- Advertisement -

ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun berkata, lebih-lebih lagi anak-anak muda perlu menghayati erti kemerdekaan yang sebenar dan bukan sekadar ikutan semata-mata.

“Saya mengingatkan anak-anak muda betapa penting menghayati erti sebenarnya merdeka bagi menyemai perasaan cinta kepada tanah air sendiri,” katanya pada Konvoi Anak Muda Beseri, semalam.

Konvoi Anak Muda Beseri diadakan sempena Hari Kemerdekaan anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Beseri.

Lebih 100 penunggang motosikal menyertai konvoi terbabit yang bermula di Masjid Jamek Beseri kemudian ke Balai Baru, Semadong, Kampung Tasoh, Kaki Bukit sehingga destinasi akhir di Arked Wang Kelian.

Haziq turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil penduduk di setiap taman perumahan dan kampung yang dilalui.

Di akhir konvoi diadakan perlawanan bola sepak persahabatan antara Imigresen Satun dan Imigresen Wang Kelian di Padang Bola Sepak Wang Kelian.

Turut hadir Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli. Peserta konvoi turut mengambil kesempatan bergambar bersama Menteri Besar Perlis.

Program tersebut turut mendapat kerjasama Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK), Masjid Jamek Beseri, anggota Polis Diraja Malasyia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Masjid Wang Kelian dan Persatuan Penduduk Wang Kelian. – HARAKAHDAILY 28/8/2023

- Advertisement -