
MUAR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengajak ahli Umno dan golongan atas pagar menyedari tanggungjawab untuk menyelamatkan negara adalah bersama dengan Islam.
Katanya walaupun hanya satu kerusi sahaja tetapi maknanya sangat besar kerana kerusi itu akan menjalankan amar makruf nahi munkar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“Kita kena pilih pemimpin walaupun menang hanya satu atau dua kerusi untuk menjalankan amar makruf nahi munkar.
“Walaupun kita tidak memerintah lagi tetapi kita kena tunaikan kewajiban ini,” katanya pada ceramah Perdana PERIKATAN NASIONAL DUN Simpang Jeram, di Markas PAS Kawasan Bakri, dekat sini malam tadi.
Beliau berkata pada pilihan raya tahun 1955, Datuk Onn Jaafar telah kalah ketika bertanding di negeri Johor.
Katanya, Datuk Onn telah menubuhkan Parti Negara dan pada tahun 1959 tetapi kalah ketika bertanding di peringkat DUN.
Menurut beliau pada pilihan raya tahun 1960, PAS menjemput Datuk Onn bertanding di Kuala Terengganu dan menang.
“Kalau kita pernah hadiahkan Datuk Onn Kuala Terengganu, kita hendak orang Simpang Jeram berilah calon orang Johor ini menang di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai,” katanya.
Tuan Guru berkata tanggungjawab untuk menyelamatkan negara penting kerana jika Islam memerintah akan memberi keadilan kepada semua kaum.
Beliau menyeru pengundi DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai supaya mengundi calon PERIKATAN NASIONAL dan jangan memilih yang lain untuk keberkatan semua rakyat.
“Hendak mengundi kena hati-hati, kena fikir panjang, kita ada tanggungjawab ada kewajiban hendak selamatkan agama Islam.
“Bukan mengundi sahaja tetapi hendak selamatkan agama Islam mesti kena menangkan Islam untuk memimpin,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang. – HARAKAHDAILY 27/8/2023




















