Pertingkatkan infrastruktur kawasan penanaman padi

- Advertisement -

ARAU: Infrastruktur kawasan penanaman padi perlu dipertingkatkan sebelum Projek Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Mini Sekinchan boleh dilaksanakan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, kerajaan Perlis menyambut baik usaha kerajaan Pusat untuk meningkatkan hasil tanaman padi di negeri ini menerusi projek itu.

- Advertisement -

“Program itu amat dialu-alukan, namun apa yang kita harapkan untuk mencapai hasrat ini ialah saliran dan prasarana di kawasan sawah sendiri, baharulah boleh mencapai tahap yang dikehendaki.

“Jika tidak, ia tidak dapat dilakukan secara menyeluruh kepada semua petani untuk mengaplikasi program ini,” katanya selepas Program Santai Agro Madani Penuaian Padi SMART SBB di Kampung Lat 1000, Simpang Empat, di sini, hari ini.

Razali berkata, kerajaan negeri bersedia dan mengalu-alukan program demikian bagi menaik taraf pendapatan petani, namun perkara yang menjadi kekangan ialah prasarana.

“Jadi kita harap kerajaan Pusat dapat membantu memulihkan kawasan-kawasan yang bermasalah,” katanya.

Projek tersebut dilaksanakan selama dua musim, iaitu pada musim 1/2023 dan musim 2/2023 dengan jumlah keluasan 172.968 hektar di sini dengan penyertaan sebanyak 28 orang.

Sementara di Kampung Tok Mengkula, Ayer Hitam Kedah pula terdiri daripada 51 orang peserta dengan keluasan sebanyak 75.268 hektar. – HARAKAHDAILY 21/8/2023

- Advertisement -