
SEOUL: Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, berkata kerjasama tiga hala dengan Amerika Syarikat (AS) dan Jepun akan bertambah kukuh jika ancaman Korea Utara meningkat.
Beliau membuat kenyataan itu pada mesyuarat kabinet beberapa hari selepas mengambil bahagian dalam perbincangan dengan pemimpin AS dan Jepun yang bersetuju untuk mengeratkan kerjasama ketenteraan dan ekonomi.
“Struktur kerjasama tiga hala di antara Korea Selatan, AS dan Jepun akan menjadi lebih kukuh apabila provokasi dan ancaman Korea Utara meningkat,” kata Yoon ketika mesyuarat itu yang disiarkan secara langsung di televisyen, sambil memaklumkan apa yang disebutnya sebagai membuka era baharu dalam hubungan ketiga-tiga negara.
Kerjasama tiga hala itu akan berkembang menjadi rangka kerja yang kukuh untuk menggalakkan keamanan serantau bersama pakatan AUKUS antara AS, Britain dan Australia serta kumpulan Quad AS, Jepun, India dan Australia, kata Yoon.
Sidang kemuncak di Kem David itu merupakan pertemuan pertama antara AS, Jepun serta Korea Selatan, ketika negara berkenaan berusaha untuk mempamerkan perpaduan bagi menghadapi kuasa China yang semakin meningkat dan ancaman nuklear Korea Utara.
Yoon berkata, kerjasama itu tidak meminggirkan negara lain dan akan menyumbang kepada kebebasan, keamanan dan kemakmuran di rantau ini dan dunia. – REUTERS











