Tamparan buat parti yang tinggalkan penyatuan ummah

Ustaz Mahfuz Roslan
- Advertisement -

KEJATUHAN sebuah parti nasionalis bangsa Melayu yang pernah berkuasa sekian lama di tanah air ini menerima tamparan hebat bukan sahaja kepada partinya tetapi negara ini sendiri.

- Advertisement -

Episod kejatuhan ini tidak berlaku tiba-tiba. Bahkan ketika memegang kuasa lagi, mereka sedang ditolak kerana kerosakan-kerosakan yang mengeruhkan parti.

Keladak yang termendap ini walaupun jauhnya di dasar, tetap menghilangkan kejernihannya di permukaan.

Kerana di permukaan itu, ada beberapa individu yang membuat keputusan-keputusan membelakangi kepentingan dan survival parti, menumpukan kepada kepentingan dan survival sendiri.

Nasib parti digolok gadai, nyawa yang diberi untuk menghidupkan kembali parti melalui agenda penyatuan ummah dibiarkan begitu sahaja.

Kekuatan yang sedang dibina kembali sedikit demi sedikit pasca kejatuhan 2018 ranap serta merta kerana ghairah mengejar kuasa yang tidak berlandaskan kuasa politik Melayu Islam.

Agenda ini disangka akan menyingkirkan partinya namun ternyata parti sendiri terpinggir dan disingkirkan dalam gelanggang politik tanah air dek tangan sendiri.

Lebih memedihkan, parti yang berfahaman sekular sedang memperluas pengaruh dan mengekalkan penguasaannya cuma dengan menumpang kelemahan umat Melayu Islam yang tidak bersatu.

Perpaduan umat Islam itu telah terbukti dibangunkan daripada pelbagai bangsa yang kukuh dan bangsa-bangsa yang kuat ini silih berganti mengetuai pemerintahan umat Islam.

Orang bukan Islam juga lebih reda bersama kerajaan Islam kerana keadilannya, sehingga Islam mencipta tamadun yang bersumberkan ilmu wahyu sebagai petunjuk dan ilmu yang bermanfaat daripada pelbagai bangsa dalam negara Islam.

Kehilangan kuasa umat Islam berlaku apabila mereka mula meninggalkan perjuangan untuk mempertahankannya.

Umat Islam akan mula dijajah kembali melalui pemikirannya dengan serangan ideologi manusia yang banyak cacat-celanya.

Adapun agama Islam tetap dipelihara Allah dan adanya kumpulan yang kembali berjuang bagi menegakkannya juga dilindungi Allah SWT.

Bersatulah atas kekuatan bangsa yang pernah disegani sekian lama dengan menjunjung agama Islam yang mulia, negara ini akan kembali stabil dan dihormati oleh seluruh bangsa di dunia.

USTAZ MAHFUZ ROSLAN
Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan
17 Ogos 2023 – HARAKAHDAILY 17/8/2023

- Advertisement -