
KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melaksanakan penarafan semua 611 masjid di negeri ini.
Lima masjid diiktiraf sebagai lima bintang iaitu Masjid Muhammadi, Kota Bharu; Masjid Ismail Petra, Tanah Merah; Masjid Mukim Pangkal Melerek, Machang; Masjid Mukim Pauh Sembilan, Bachok dan Masjid Mukim Banggol, Kota Bharu.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, Kelantan menjadi negeri pertama melaksanakan penarafan melibatkan semua masjid serentak.
Kata beliau, penarafan itu bermula awal tahun ini mengguna pakai modul Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) yang diperkenalkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Pelaksanaannya dibantu pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang juga sebagai penggubal modul standard penarafan masjid Malaysia.
“Penilaian dan audit dilaksanakan dalam tempoh empat bulan berakhir Mei lalu,” katanya pada Majlis Amanat Yang Berhormat Mulia Tengku Yang Dipertua Bersama Pegawai Masjid Negeri Kelantan 2023 di sini semalam.
Tengku Mohamad Rizam turut mengumumkan pindaan ke atas Kaedah Pelantikan Kuasa dan Kewajipan Pegawai Masjid Mukim 1997.
Kata beliau MAIK turut mengumumkan beberapa perkara melibatkan kebajikan pegawai masjid mukim termasuk cuti rehat Tahunan dinaikkan daripada 10 kepada 20 hari setahun.
Selain itu Ganjaran Penamatan Perkhidmatan tahunan juga dinaikkan daripada RM400 kepada RM1,000 bagi imam tua, RM350 kepada RM800 (imam muda) dan RM300 kepada RM600 (bilal). – HARAKAHDAILY 17/8/2023




















