
KOTA BHARU: Adun Meranti Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud
mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar (MB) di Istana Negeri kira-kira jam 5.30 petang tadi.
Majlis angkat sumpah itu diadakan di hadapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V. Turut berangkat ke majlis pelantikan dan istiadat mengangkat itu Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammmad Faiz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra.
Istiadat bersejarah terbabit turut disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Roslan Abu Bakar; Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Yakub; Mufti Kelantan Dato’ Mohamad Shukri Mohamad dan Ketua Hakim Syarie Kelantan, Ibrahim Deris.
Manakala Adun Temangan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar.
Sementara itu anggota Exco pula menggandingkan muka baharu dan lama.
Muka baharu yang ditampilkan iaitu Pengerusi Bersatu Kelantan Dato’ Kamaruddin Md Nor (Ayer Lanas), Hilmi Abdullah (Guchil), Zamanskhari Muhammad (Apam Putra).
Selain itu Ustaz Mohd Asri Mat Daud (Demit) dan Rohani Ibrahim (Tanjung Mas).
Anggota Exco penggal lepas yang dikekalkan iaitu Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman, Dato’ Dr Izani Husin, Ustaz Tuan Saripudin Tuan Ismail dan Ustaz Wan Roslan Wan Hamat. – HARAKAHDAILY 15/8/2023











