
MARANG: Walaupun PERIKATAN NASIONAL (PN) tidak menang keseluruhan enam negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam namun perubahan kerajaan boleh berlaku di peringkat pusat.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian berdasarkan kemenangan PAS yang memperolehi banyak kerusi pada kali ini.
“Walaupun tidak menang (enam negeri), banyak kerusi yang kita dapat, ini satu lonjakan baru akan memberi perubahan.
“Makna menunjukkan sokongan PH merosot khususnya kita dapati peratus undi yang merosot, peratus merosot ini undi protes terhadap PH-BN yang sebenarnya,” katanya kepada media di Dewan Tok Guru, Rusila, malam tadi.
Menurutnya lagi, walaupun PN tidak tidak dapat merampas Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor, ia masih boleh berlaku perubahan kerana kerajaan hari ini adalah kerajaan campuran.
“Kita tahu dalam DAP sendiri mengalami krisis dalaman pemilihan calon, serang menyerang dalam masa pilihan raya termasuk juga parti lain. Yang stabil ialah PN.
“Kita melihat PH hanya mempunyai 80 kerusi lebih di samping Sabah, Sarawak dan BN memberi sokongan macam sementara waktu sahaja. Kita difahamkan bahawa ada SD (akuan bersumpah) yang dibuat secara rasmi. Dia bentuk kerajaan sedemikian rupa.
“Kita menyaksikan perbahasan-perbahasan di parlimen, ahli-ahli parlimen daripada BN-Umno termasuk Sabah dan Sarawak menunjukkan tidak senang hati mereka dalam kerajaan.
“Jadi pembangkang dalam kerajaan, itu yang berlaku. Keadaan ini kita mengharapkan akan memberi perubahan untuk mendukung kepada kita untuk mendapat majoriti sehingga dapat mengambil alih kerajaan,” katanya.
Malah kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, pertukaran kerajaan adalah amalan biasa dalam demokrasi.
“Undi tak percaya, ambil SD dan sebagainya, itu amalan biasa dalam demokrasi ia boleh berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/8/2023




















