
ALOR SETAR: PERIKATAN NASIONAL (PN) Kedah mencatat kejayaan luar biasa apabila berjaya memenangi 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, sasaran 33 DUN yang sering diungkap Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjadi kenyataan dan mencatat kejayaan luar biasa untuk gabungan itu.
“MB kita telah serah seluruh jiwa raganya dan berkorban segala-segalanya. Walaupun pelbagai tohmahan dan serangan dilakukan oleh pihak lawan bertubi-tubi terhadapnya, namun malam ini membuktikan sokongan rakyat terhadap PN sangat baik dan utuh,” kata beliau ketika memberi ucapan di Kompleks PAS Kedah, malam tadi.
Dalam masa yang sama, Ahmad tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada gabungan itu sehingga menghasilkan kejayaan luar biasa pada PRN kali ini.
“Terima kasih kepada semua yang memberi komitmen padu serta kepercayaan kepada PN sehingga gabungan ini sekali lagi diberi mandat menerajui kerajaan negeri,” tambahnya lagi.
Berikutan itu jelasnya pada malam ini (13 Ogos) satu himpunan besar ‘Mandat Rakyat” akan diadakan di Kompleks PAS Kedah bermula jam 7 malam.
Menteri Besar yang juga Pengerusi PN Kedah antara yang akan memberi ucapan selain ketua-ketua parti gabungan (Bersatu dan Gerakan) termasuk Pesuruhjaya PAS Kedah.
Turut dihadiri Ahli Parlimen PN Kedah dan semua calon-calon gabungan itu yang menang pada PRN semalam.
Himpunan akan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, munajat kesyukuran dan solat Isya. – HARAKAHDAILY 13/8/2023











