
MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan membawa surat cadangan nama menteri besar untuk dipersembahkan kepada Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, proses tersebut akan bermula hari ini.
Beliau yang mempertahankan kemenangan di Dun Ru Rendang menyatakan demikian kepada media di Dewan Tok Guru, Rusila, malam tadi.
“Presiden PAS akan memulakan proses itu untuk membawa surat daripada PAS untuk dipersembahkan kepada Tuanku tentang cadangan yang sepatutnya.
“Saya percaya besok (hari ini) akan memulakan proses dengan pihak istana, tarikh tepat bila angkat sumpah dan sebagainya itu tertakluk kepada istana,” ujarnya yang menang dengan majoriti 17,286 undi.
Mengenai pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pula, beliau berkata ia akan diselesaikan dalam tempoh seminggu.
“Saya rasa kita akan cuba bentuk kabinet dalam tempoh seminggu sebelum seminggu habis, insya-Allah kita akan selesaikan,” ujarnya.
Ditanya sama ada Exco yang sedia ada dikekalkan, Dr Samsuri memberitahu perkara itu masih dalam pertimbangan.
“Kena teliti pelbagai perkara kerana kita sekarang ini sudah menjadi sebuah parti muafakat politik dalam PERIKATAN NASIONAL,” katanya lagi.
Justeru, ujarnya tentulah ada pertimbangan-pertimbangan penambahbaikan terhadap portfolio yang perlu diharmonikan.
“Jadi kita akan ambil masa beberapa hari lah untuk nak teliti balik kedudukan portfolio-portfolio ini,” katanya yang juga Pengerusi PERIKATAN NASIONAL negeri.
Beliau juga menjelaskan barisan Exco pada kali ini turut melibatkan wakil daripada Bersatu.
Pada Pilihan Raya Negeri yang berlangsung semalam, PERIKATAN NASIONAL menyapu bersih 32 kerusi Dun yang dipertandingkan dengan majoriti yang lebih bsar daripada PRU14 lalu. – HARAKAHDAILY 13/8/2023











