
KOTA BHARU: Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, pernah mencadangkan supaya dua jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri diubah bagi penggal ke-15.
Timbalannya, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, jawatan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar akan diputuskan oleh kepimpinan parti sebelum mendapat perkenan Sultan.
Menurut beliau, Menteri Besar sekarang pernah meminta untuk tidak dilantik kepada jawatan tersebut sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lagi, namun keputusan itu ditolak.
“Dia memang tidak mahu jadi Menteri Besar sejak pilihan raya dahulu lagi, dia minta tidak bertanding tetapi Presiden merasakan dia perlu ada dalam kerajaan, jadi kekalkan.
“Tetapi kali ini, dia minta dengan bersungguh-sungguh dan Presiden PAS pun pertimbangkanlah dengan faktor usia dan kesihatannya,” katanya ketika ditemui selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Panji dekat sini hari ini.
Mohd Amar yang juga calon DUN Panchor berkata, menjadi amalan PAS Kelantan sejak zaman Almarhum Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat melantik anggota Exco dari pelbagai latar belakang dan kepakaran.
Kata beliau, itu merupakan satu langkah yang sangat baik bagi memperkukuhkan pentadbiran kerajaan negeri yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan termasuk ekonomi, sosial dan sebagainya.
“Bagi kita bagus semualah, sebelum ini pun memang kita dalam Exco zaman almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz lagi dilaksanakan dan dibuat sampai sekarang kita gabungkan.
“Cuma bukan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar tetapi dalam Exco itu sendiri sebahagian itu mereka bukan dalam kalangan ulama, ada pofesional dan teknokrat,” katanya.
Khamis lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat di Rusila Terengganu memutuskan perubahan gabungan kedua-dua jawatan tersebut membabitkan tokoh agamawan dan tokoh teknokrat.
Bagaimanapun keputusan itu tertakluk kepada mandat rakyat selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan diumum dan mendapat perkenan Tuanku al Sultan Kelantan.


Sementara itu penyandang kerusi DUN Tanjung Mas, Rohani Ibrahim, tiba di pusat mengundi di Sekolah Maahad Muhammadi Lelaki ditemani suaminya, Mohd Pauzi Hassan jam 9 pagi sebelum mengundi.
Beliau yang lebih dikenali panggilan Kak Ani sempat beramah mesra dengan pengundi yang hadir di pusat mengundi tersebut.
Semua pusat mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di Kelantan dibuka jam 8 pagi dan akan ditutup pada pukul 6 petang.
Pada PRU14, DUN Tanjung Mas dimenangi Rohani dengan majoriti 7,015 undi menewaskan calon Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
Sementara itu ahli jawatankuasa PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud yang juga calon PN DUN Melor mengundi di Sekolah Kebangsaan Bechah Keranji bersama isterinya pada jam 9.45 pagi. – HARAKAHDAILY 12/8/2023











