SPRM diminta siasat syarikat beli bas dua alam

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat dalang di sebalik syarikat Alam Perkasa Technology Sdn Bhd yang terlibat pembelian bas dua alam Amphicoach.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), Muhd Irsyad Syafiq berkata, bas dua alam Amphicoach yang telah dibeli oleh kerajaan negeri pada 2014 terdapat beberapa keraguan.

“Kita buat laporan berkenaan dengan bas dua alam Amphicoach yang telah dibeli oleh kerajaan negeri Terengganu pada tahun 2014 ada beberapa keraguan yang kita lihat terhadap maklumat yang telah kita perolehi daripada sumber-sumber dalaman.

“Yang pertama berkaitan dengan pelantikan kontraktor yang bertanggungjawab membeli bas Amphicoach itu iaitu Alam Perkasa Technology Sdn Bhd yang mana adalah satu syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2014 tahun yang sama Amphicoach dibeli oleh kerajaan negeri.

“Yang keduanya pendaftaran pada bulan Mac tetapi mereka telah pun menerima proposal daripada syarikat ini pada bulan Fabruari, jadi ianya membawa satu keraguan macam mana syarikat yang tidak didaftar boleh menghantar proposal kepada kerajaan negeri Terengganu dan diluluskan oleh MMKN, jadi kita minta SPRM siasat,” katanya selepas membuat laporan di pejabat SPRM di sini, hari ini.

Beliau berkata, perbincangan membeli Amphicoach juga melibatkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) pada tahun 2014, cawangan kejuruteraan mechanical, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu dan juga pengarah JKR negeri yang sama-sama terlibat dalam persetujuan pembelian bas itu.

“Jadi kita minta untuk SPRM siasat juga kerana pada bulan Disember 2018, JKR dan Jabatan Laut negeri Terengganu mengesyorkan supaya bas ini tidak dioperasikan kerana ianya tidak layak untuk belayar.

“Jadi macam mana pada tahun 2014 bersetuju untuk beli bersama-sama dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu tetapi pada tahun 2018 setelah kerajaan berubah, berubah keputusannya,” katanya.

Kata Muhd Irsyad, pihaknya juga melihat ia ada unsur sogokan dan dicadangkan untuk semak siapa ‘board of directors’ yang berada di belakang syarikat ini sehingga lulus satu tender yang bernilai lebih RM3 juta oleh kerajaan negeri.

“RM3 juta ini besarlah jumlah tidak sepatutnya diberi kepada syarikat yang tidak sampai setahun bahkan proposal untuk membeli bas dua alam itu pun dibuat oleh syarikat yang sama sebelum penubuhan syarikat itu sendiri. Di situ pun rakyat boleh tahulah apa yang sedang berlaku hari ini.

“Sampai hari ni status bas Amphicoach ini masih tidak lagi diserahkan pada kerajaan negeri kerana masalah-masalah yang tertentu.

“Jadi projek yang tidak diserahkan lagi sedangkan projek itu dari 2014 dan telah pun diisytiharkan projek Amphicoach ini sebagai projek sakit. Jadi kita minta siasat, jadi kita minta SPRM kemukakan kepada pihak yang berautoriti untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/8/2023

- Advertisement -