Menanti PH-BN dipukul K.O Sanusi persis Muhammad Ali

- Advertisement -

“AKAN ada ramai orang yang membayar seseorang untuk menutup mulut kamu. Jadi, teruskan bercakap gah, berlawan cakap dan terus bertindak di luar jangkaan.”

Pada suatu tahun 1974, momen yang tidak dapat dilupakan oleh jutaan manusia di kebanyakan kota besar seluruh dunia termasuk di Malaysia, di bandar, kampung, rumah, pejabat hatta di setiap pelosok bilik darjah.

Jam 10 pagi pada hari itu, hampir sebahagian besar urusan hidup manusia ‘membeku’. Guru-guru se-Malaysia mengambil keputusan menggantung pengajaran.

Stop! Mari kita ke kantin sekolah,”

30 Oktober 1974, bertempat di Kinshasa, Zaire, jutaan tubuh manusia terpaku tegak, jendela mata dikuak lebar, tembus memandang ke dada televisyen bagi menyaksikan sebuah perlawanan paling epik dalam sejarah sukan tinju dunia.

Muhammad Ali atau nama asal beliau sebelum islam, ‘Cassius Marcellus Clay, Jr’ mantan juara ‘heavy weight’ dunia bakal bertarung dengan raja ‘knock out’ (KO) George Foreman, si juara menanti di dalam kelas yang sama. 

Menurut satu catatan, Muhammad Ali tinggi orangnya. Tubuhnya tidaklah terlalu berketul-ketul, sangat pantas dan licik dengan gaya menari-nari di atas gelanggang serta mempunyai tumbukan yang cukup kuat untuk TKO kan lawan.

Berbanding Ali, tubuh Foreman lebih sasa sekental batu. Beliau muncul sebagai juara dunia setelah mengalahkan seorang lagi peninju yang juga seteru utama Muhammad Ali iaitu Joe Frazier dalam satu pertarungan pada tahun 1973.

Dalam perlawanan epik disaksikan lebih 50,000 orang penonton itu, Ali ‘The Greatest’, 32 diletak sebagai peninju ‘underdog’ melawan ‘Big George’, 25 juara muda yang belum pernah kalah dari 40 siri pertarungannya. 

Ali memberitahu seorang penemuramah David Frost, “Jika anda fikir dunia terkejut apabila Nixon meletak jawatan, tunggu hingga saya menarik Foreman ke belakang!”.

Biarpun Ali tidak diletak sebagai peninju pilihan, hampir setiap penjuru penonton bersorak, “Ali, bomaye! Ali, bomaye! Ali, bomaye!” (Ali, ‘bunuh’ dia!)

Bermula dari pusingan pertama hingga masuk pusingan ketujuh, hanya sesekali Ali membalun lawan, selebihnya beliau hanya ‘mematikan diri’.  Foreman dibiar ‘mengetuk’ Ali sekenyang- kenyangnya. Yeahhh, dusss, dusss

Masuk pusingan kelapan, dua belas minit sebelum perlawanan tamat, bagai keluar dari medan penyamaran, Ali meluru dan menarik Foreman ke tepi gelanggang, “masa telah tiba ‘menghantar pulang’ kau hidup-hidup,”

Foreman tumbang TKO! Pengadil mengisytiharkan kemenangan buat Ali. 

Pertarungan epik dalam sejarah ini digelar ‘Rumble in the Jungle’.

Di hadapan puluhan wartawan, Ali melaung,

“Saya sudah kata kepada kalian para pengkritik, saya sudah kata kepada kalian semua, waktu saya memukul Sonny Liston, bahawa saya yang terhebat sepanjang masa!” 

Muhammad Ali seorang kanak-kanak ‘rebel’, berani dan serba boleh. Beliau membesar di kawasan penempatan yang penuh dengan prejudis perkauman serta diskriminasi.

Pelbagai bentuk pembulian, tekanan dan penindasan dialami sejak kecil, atas segala bebanan perasaan itu, beliau bangkit mengubah hidup dengan karakter angkuh tersendiri menyulami bakat keterampilan bertinjunya yang cukup luar biasa.

Provokatif, sombong, ‘trash talk’ (bualan atau hinaan bertujuan mengugut lawan) merupakan satu strategi ‘perang’ yang sudah lama dipraktikkan bertujuan memancing kemarahan dan menundukkan ego lawan.

Muhammad Ali merupakan legenda tinju dunia yang berjaya ‘membunuh’ dengan kata-kata ‘trash talk’ calon lawannya. Kemunculannya amat dinanti-nanti oleh semua bukan sahaja peminat, lawan dan kawan tetapi juga tokoh-tokoh dan pemimpin-pemimpin besar seluruh dunia.

Ramai orang kagum dan menggilai Muhammad Ali biarpun lawan membenci dan sakit hati. Di mana-mana orang bercakap mengenai tinju. Ramai orang mula menanam cita-cita menjadi ahli tinju kesan daripada fenomena Muhammad Ali ‘si mulut besar’.

Seorang penulis, Budiman Mohd Zohdi  berkongsi satu catatan di akhbar Sinar Harian bertarikh 30 Jun 2021, bagaimana kekaguman dan ‘kegilaan’ rakyat Malaysia terhadap kehebatan sosok legenda tinju ini. 

“Impaknya (Muhammad Ali) sampai ke segenap penjuru sehinggakan bukan sahaja kanak-kanak dan remaja menyimpan cita-cita untuk menjadi peninju, malah yang tua-tua pun khabarnya dalam diam menyimpan cita-cita yang sama.

“Waktu itu di mana pun kita duduk pasti akan terdengar cerita tentang kehebatan Muhammad Ali. Ada yang kata jika dia tumbuk lembu, maka lembu itu akan mati; jika tumbuk tembok, tembok itu tentu runtuh,” cerita seorang kawan senior.

Seorang ahli gusti profesional bernama ‘Gorgeous George’ Wagner telah menasihati Ali dengan kata-kata ini:

“Akan ada ramai orang yang membayar seseorang untuk menutup mulut kamu. Jadi, teruskan bercakap gah, berlawan cakap dan terus bertindak di luar jangkaan,”.

Muhammad Ali menghembus nafas terakhir pada 3 Jun 2016, di usia 74 tahun, setelah lebih 32 tahun bertarung dengan penyakit Parkinson. Seluruh dunia meratapi kehilangan seorang legenda, fenomena dan ‘suara’ yang sukar dicari ganti. 

George Foreman, musuh lamanya berkata, “Muhammad Ali salah seorang manusia terhebat yang pernah saya kenal. Tidak dinafikan dia adalah manusia terbaik hari ini dan sepanjang usianya,”.

Juara tinju dunia, Floyd Mayweather Jr. merakam kata-kata, “Tidak akan ada lagi Muhammad Ali. Masyarakat kulit hitam di seluruh dunia memerlukannya. Dia adalah ‘suara’ untuk kami. Suaranya untuk saya sehingga saya berada pada kedudukan ini hari ini.”

Jika ada di kalangan rakyat Malaysia yang hidup di zaman Muhammad Ali, masih mengingati, terbayang-bayang lagak, suara serta ‘kata-kata sombong’ legenda tinju dunia itu, anda manusia paling bertuah!

Penulis tidak lahir dan hidup di zaman itu. Apabila menonton siri-siri pertandingan tinju yang disertai Muhammad Ali, wawancara  wartawan bersama beliau, bual bicara beliau bersama orang orang ramai, di minda penulis terus terbayang, 

“Ya Allah, saya ‘nampak’ Muhammad Ali ‘ada’ di Malaysia!,”.

Hang pa baik dengan saya, saya sepuluh kali baik dengan hang pa, hang pa bedal saya sekali, saya tobat bedal hang pa balik.

Hang pa ingat aku takut? PH, BN ni tuan-tuan, kalau hang pa takdak sorang malam ni tinggai aku sorang, pun aku lawan depa!”

Dewan Pemuda PAS Kedah dalam satu hantaran di laman Facebook mereka menyatakan bahawa kesungguhan Dato’ Seri Sanusi untuk mengubah landskap politik Kedah, sosio-ekonomi, pembangunan dan masa depan negeri diulang berpuluh ribu kali.

“Kenapa MB Kedah mulut dia berbunyi sangat kasar dan dia pun tak hirau apa pun orang luar nak kata?

“Pada pendapat kami, beliau ‘fed up’ dengan tatakelola dan wewenang ahli politik ‘sana’ mengurus Negeri Kedah,” katanya.

“Orang Kedah kata “lantak pi kat hang lah. Aku nak buat reja aku. Hang tak suka, hang pi duk dalam hutan”.

Muhammad Sanusi Md Nor atau popular dengan panggilan ‘Nusi’ hanyalah seorang budak kampung miskin, sedikit nakal, ‘rebel’, kuat bercakap, berani berlawan cakap, tak takut melawan. 

Menteri Besar (MB) Kedah pencetus ‘fenomena’ kebangkitan rakyat seluruh Malaysia ini dibesarkan dalam keluarga miskin. Bapa dan ibunya merupakan pasangan ‘serba boleh’, melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara beliau 13 beradik. 

Oleh kerana Nusi adalah manusia ‘berasal’ daripada tanah, dibentuk dan diberi makan daripada hasil tanah, unsur bumi begitu mendominasi jiwa dan sanubari, ‘Nusi’ dekat di hati rakyat bumi.

“Siapa yang dapat geran pada hari ni, jangan jual tanah. Tolonglah tuan-tuan, yang ada tanah bendang di Kedah ni, orang-orang Melayu, yang terima pusaka daripada nenek moyang, percuma saja kita dapat tanah tu, jangan juai.

“Simpan, usaha sendiri, cari bagi banyak, buat bagi banyak, bayar zakat berkat hidup. Jangan ambil jalan mudah jadi ‘pak yet’, jadi barua orang pinjam nama, dapat duit tapi tanah sekampung hilang, habih.

“Hat yang ada banyak tanah, toksahlah mohon tanah lagi, bagilah orang tak dak tanah mohon tanah kerajaan. Orang kaya pergilah beli tanah, orang miskin boleh mohon, kita pertimbangkan.

“Mana yang lebih kenal (orang miskin), orang yang betul-betul miskin dan bercakap mengenai kemiskinan atau orang kaya yang berpura-pura seolah-olah dia pembela orang miskin,” soalnya

Semenjak diamanahkan menjaga negeri jelapang tempat rakyat Malaysia tumpang menagih semangkuk nasi, kemana sahaja beliau pergi, kata-kata, “negeri untuk orang miskin tumpang berteduh, tempat orang kaya menabur budi,” diratib berulang kali.

Jarang benar kita melihat rakyat seronok menonton ceramah politik, menunggu-nunggu kelibat orang politik muncul di media massa, berangan-angan untuk bersalaman jika terserempak, malah ada yang bermimpi dari jauh untuk dapat bercakap dekat-dekat.

“YB, dulu saya benci politik, sekarang tiap-tiap hari saya tunggu YB muncul di TikTok. Hari ini saya berdiri di depan YB, saya ingin katakan, teruslah berkhidmat mewakili suara hati kami rakyat jelata YB,”.

‘Trash-talk’ Nusi dinanti-nanti semua orang. Rakyat rindukan sebuah kebenaran dan kejujuran keluar dari mulut seorang ahli politik, rakyat dah muntah dengan lakonan ahli politik ‘hulur bunga’ di depan, ‘buang tahi’ di longkang belakang rumah rakyat.

Di dalam satu riwayat yang berbunyi:

- Advertisement -

إِذا رَأَيْتُمْ المتواضعين من أمتِي فتواضعوا لَهُم وَإِذا رَأَيْتُمْ المتكبرين فتكبروا عَلَيْهِم

“Apabila kami dapati kalangan yang tawaduk dalam kalangan umatku, maka berlakulah tawaduk terhadap mereka; dan apabila kamu dapati golongan yang sombong, berlakulah sombong terhadap mereka.”

Riwayat ini disebut oleh Imam al-Ghazali dalam Ihyaa’ Ulum al-Din, namun Imam Tajuddin al-Subki menyatakan bahawa beliau tidak menjumpai sanad bagi riwayat ini. (Rujuk Tobaqat al-Syafi’iyyah al-Kubra 6/354)

Abu Sa’id al-Khadimi sewaktu mengulas riwayat ini menyatakan bahawa secara asalnya, sikap sombong adalah diharamkan. 

Namun kita dibenarkan bersikap sombong terhadap orang yang sombong, dan ia sebenarnya adalah sedekah dan perbuatan baik.

Kerana jika kita bersikap tawaduk di hadapan orang sombong, itu akan menyebabkan dirinya terus-menerus berada dalam kesesatan. Jika kita bersikap sombong, dia akan tersedar daripada sikapnya itu.

Seseorang itu diharuskan untuk menzahirkan sikap meninggi diri terhadap orang yang sombong, dengan niat untuk menasihati, menegur dan memberi pengajaran terhadap orang sombong.

Namun sikap sombong mestilah pada sudut zahir sahaja, dan tidak mempunyai rasa sombong yang sebenar di dalam hati.

“Saya membuktikan bahawa Allah adalah tuhan dalam hidup saya dan Muhammad adalah utusan Allah. Saya beriman dan melepaskan semua beban duniawi, malam ini saya selesaikan dengan mudah kerana Allah memiliki kekuatan atas segala sesuatu jika anda percaya padanya,” – Muhammad Ali

Apabila Allah adalah niat, tujuan dan sandaran segala urusan hidup manusia, segala ugutan mahupun cercaan menjadi enteng dikunyah dan dimamah.

‘Kelemahan’ orang baik, terlalu jujur dan berterus terang bila berkata-kata, ‘gifted’ ketika diberi amanah, lurus tak pandai konar-konar, semua yang ada, semuanya mahu diberi.

‘Kehebatan’ orang jahat, mereka adalah pakar ‘pura-pura’ dari setiap sudut dan penjuru. Mereka tak mampu jadi baik seperti orang baik. Yang mereka mampu hanya menipu dan berpura-pura baik.

“Tok sah dok lawanlah Nusi, Nusi lebih nakal dari itu. Jika nak saman Nusi berhenti daripada jadi budak nakal, Nusi tidak akan berhenti kerana Nusi dilahirkan untuk melawan!”.

Sumber rujukan:
https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3588-al-kafi-1328-benarkah-kita-perlu-berlaku-sombong-terhadap-orang-yang-sombong

KHAULAH AL AZWAR – HARAKAHDAILY 10/8/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -