
TANAH MERAH: Lanskap politik negara dijangka berubah sekiranya PERIKATAN NASIONAL (PN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri Sabtu ini.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, petunjuk itu bersandarkan beberapa senario termasuk keyakinan yang mula pudar oleh rakan politik kerajaan campuran sekarang.
Katanya, parti-parti dari Borneo dilihat semakin tidak selesa terhadap kepemimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Kita melihat kemungkinan besar gelombang akan berlaku lagi bermula 12 Ogos ini. Ia bukan hanya menggegarkan Kelantan tetapi menjalar sehingga ke Putrajaya.
“Petunjuk itu semakin jelas apabila rakan-rakan yang sebelum ini pernah bersama kita (PN) termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat tidak selesa dengan Perdana Menteri sekarang,” katanya pada ceramah Gempur Ppakat Pertahan DUN Gual Ipoh, di sini petang semalam.
Menurutnya juga sekiranya Selangor yang dikuasai PH sejak 2008 tergugat, benteng PKR dan Anwar akan mulai retak.
“Sekiranya Selangor dimenangi PN, maka tamat lah riwayat politik PH dan akan meretakkan semula hubungan PH-Umno.
“Oleh itu, doa dan harapan diperlukan agar rakyat di enam negeri termasuk Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan yang akan mengundi Sabtu ini sama-sama memberi undi kepada PN,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/8/2023




















