
KUALA KEDAH: Fenomena angkat tangan sekarang sudah menjalar melebihi era reformasi yang berlaku pada 1998. Sekarang di mana sahaja anak-anak muda ghairah angkat tangan.
Mereka meniru gaya Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika hadir di mahkamah di Selayang, Selangor berkaitan sebutan kes dakwaan menghina raja baru-baru ini.
Calon DUN Anak Bukit, Rashidi Razak berkata, ketika beliau datang ke pasar malam di kampung anak-anak muda ghairah mengangkat tangan ketika berjumpa dengannya.
Katanya, perkembangan yang berlaku itu menggambarkan penerimaan masyarakat kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) semakin meningkat daripada hari ke hari.
“Sepanjang gerak kerja kempen orang ramai begitu prihatin dengan kehadiran calon dan petugas pilihan raya PN,” katanya ketika ditemui selepas sesi ziarah di Kampung Permatang Pukang, di sini, hari ini.
Menurut beliau juga Anak Bukit mempunyai 18 Unit Daerah Mengundi (UDM), namun disebabkan peningkatan sokongan anak-anak muda, PN membina lebih 40 pos kecil.
“Saya ziarah kesemua pos yang ada bagi meraikan kesungguhan mereka memberi sokongan kepada kita” katanya.
Rashidi bertugas sebagai Penyelaras DUN Anak Bukit bermula Januari 2020 hingga Jun tahun ini.
Beliau juga pernah dilantik Pegawai Agenda Sejahtera semasa pentadbiran kerajaan negeri di bawah Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak. – HARAKAHDAILY 4/8/2023











