
KUALA LUMPUR: Kadar hutang isi rumah di negara ini semakin membimbangkan, iaitu kira-kira 89 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia, Mohammad Sahar Mat Din, berkata ini bermaksud kalau pendapatan seseorang RM1,000 maka hutangnya sebanyak RM890.
Menurutnya, jika pendapatan seseorang itu RM100,000 maka hutangnya RM89,000, iaitu hanya tinggal 11 peratus menjadi wang lebihan untuk menyimpan atau berbelanja.
“89 peratus hutang itu diwakili oleh hutang seperti hutang rumah, pinjaman peribadi, kereta, kad kredit, pendidikan dan lain-lain dengan pinjaman perumahan adalah paling tinggi, iaitu sebanyak 58 peratus,” katanya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, tahun lalu dilaporkan berkata majoriti hutang rakyat Malaysia adalah untuk membeli aset.
Selain untuk membeli rumah sebanyak 58.1 peratus, katanya 5.7 peratus membeli hartanah bukan kediaman dan 5.3 peratus untuk membeli sekuriti seperti saham.
“Hutang untuk membeli aset ini secara amnya dianggap hutang yang baik. Mengapa? Kita ambil contoh rumah. Rumah antara aset yang ada peningkatan nilai, jadi kalau kita beli rumah RM100,000 sepuluh tahun lalu, sekarang nilainya mungkin dah RM500,000.
“Kalau rumah itu kita beli untuk disewakan, bukan sahaja nilainya naik, tiap-tiap bulan kita dapat pendapatan. Jadi, tak semua hutang itu buruk. Ada hutang yang baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/2023











