Umno Kelantan parah, ada cawangan akan ditutup

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sekali lagi kejutan dijangka berlaku apabila gelombang penghijrahan beramai-ramai pemimpin, ahli dan penyokong Umno akan diadakan pada Jumaat ini.

Sebelum ini pada 15 Julai lepas, seramai 276 bekas ahli Umno diketuai bekas Ketua Pemuda Umno Machang, Iryandi Ismail menyertai Bersatu.

- Advertisement -

Pada 23 Julai lepas pula, 450 ahli dan penyokong Umno diketuai bekas ahli jawatankuasa Wanita Umno bahagian Rantau Panjang menyertai PAS.

Jumaat ini, bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa memberitahu bahawa bekas Exco Pemuda Umno, bekas duta, mantan Datuk Bandar dan ramai lagi akan menyertai PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN).

Katanya, gelombang penghijrahan yang berlaku itu menyebabkan ada cawangan Umno di Ketereh akan ditutup.

“Insya-Allah Jumaat ini, ambo (saya) akan umumkan pemimpin bahagian Umno Ketereh dan lain-lain, termasuk cawangan Umno akan dibubarkan.

“Mereka mahu mengikut jejak langkah ambo. Insya-Allah kita akan isytihar secara terbuka pada program ceramah di Yayasan Kemiskinan Kelantan di Peringat,” katanya ketika ceramah Isu-isu semasa di tapak Pasar Lama Kok Lanas, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Agung PN, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin; Ketua Pemuda PN Pusat, Ahmad Fadzli Shaari dan calon PN Kok Lanas, Dato’ Mohamad Farid Zawawi.

Annuar yang juga bekas Ketua Umno Ketereh berkata, kumpulan kedua yang tidak mahu melepaskan jawatan dalam Umno memberi pengakuan akan mengundi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

“Kita rayu mereka undi PAS pada PRN nanti. Ambo juga mengajak anak beranak ambo yang tinggal di merata tempat mengundi PN,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/8/2023

- Advertisement -