Zahid terdesak raih sokongan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyifatkan ucapan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu pada Jumaat lalu, berlawanan dengan etika berkempen ketika Pilihan Raya Negeri (PRN).

Mohd Zai Mustafa berpandangan, kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) sangat terdesak bagi meraih sokongan semasa PRN.

- Advertisement -

“Saya melihat PH-BN sangat terdesak untuk mendapat sokongan rakyat Terengganu walaupun umum melihat bahawa sukar bagi PH-BN mencapai kemenangan di negeri itu.

“Perbuatan mengumumkan bantuan amat berlawanan dengan etika berkempen kerana menggunakan kedudukan dan dana kerajaan secara terang-terangan bagi mendapatkan undi rakyat.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu meneliti dan menyiasat perkara ini,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Mohd Zai berkata, semasa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi pembangkang, beliau menentang keras penggunaan kedudukan dan dana kerajaan untuk mendapatkan undi dalam pilihan raya.

“Namun, akhirnya beliau sendiri melanggar perkara tersebut. Di manakah prinsip integriti yang beliau laungkan selama ini?” katanya.

Justeru, beliau menyarankan agar tiada mana-mana parti melibatkan kedudukan dan penggunaan harta serta dana kerajaan untuk berkempen bagi meraih undi rakyat.

“Berkempenlah secara lelaki budiman dengan menggunakan kekuatan parti sendiri bagi meraih undi rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2023

- Advertisement -