Kit Adidas terus jadi pilihan Man U

Mason Mount memakai jersi Adidas dalam perlawanan persahabatan pramusim, menentang Olympique Lyonnais.
- Advertisement -

Manchester United menandatangani perjanjian bernilai 900 juta Pound (AS$1.1 bilion) dengan Adidas, memperbaharui hubungan antara kelab bola sepak Inggeris itu dan pembekal kit rasmi untuk tempoh 10 tahun lagi.

Warga Amerika Syarikat (AS) yang memiliki Man U mempertimbangkan untuk menjual kelab itu yang akan kembali ke Liga Juara-Juara UEFA tahun ini selepas tersenarai dalam kelompok empat kelab terbaik dalam liga domestik musim lalu di bawah pengurus Erik ten Hag.

- Advertisement -

Gergasi pakaian sukan Jerman, Adidas menjadi penaja kit rasmi kelab pada musim 2015/16 dengan perjanjian bernilai 750 juta Pound. Sebelum itu, selama 23 tahun, Man U menggunakan jenama Nike.

“Perjanjian baharu itu memberi tumpuan kepada pasukan wanita Manchester United sejak diperkenalkan semula pada 2018,” kata United dalam kenyataan media bersama Adidas.

Man U masih dalam proses rundingan untuk dijual selepas pemilik AS, keluarga Glazer, melancarkan proses jualan rasmi akhir tahun lalu.

Sheikh Jassim bin Hamad al-Thani dari Qatar dan jutawan British Jim Ratcliffe adalah antara calon yang berminat untuk membeli kelab itu.

Perjanjian baharu dengan Adidas, menjelang musim Liga Perdana 2023/24 yang bermula bulan depan akan meneruskan hubungan antara dua jenama sukan terkenal itu sehingga Jun 2035, kata kelab yang berpangkalan di barat laut England itu.

Perjanjian dengan Adidas menetapkan syarat sebahagian bayaran tahunan dengan penyertaan kelab itu dalam pertandingan Liga Juara-Juara.

Menurut perjanjian itu, kegagalan kelab untuk bermain dalam Liga Juara-Juara selama dua atau lebih musim berturut-turut akan mengurangkan bayaran tahunan sebanyak 30 peratus daripada jumlah berkenaan.

Man U dan Adidas enggan mengulas mengenai syarat perjanjian baharu itu.

“Kami akan menggabungkan tradisi dan inovasi untuk menggembirakan pemain dan peminat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Adidas, Bjorn Gulden.

Bulan lalu, juara bola sepak Inggeris sebanyak 20 kali itu meningkatkan jangkaan keuntungan dan hasil tahunan kelab itu. – REUTERS

- Advertisement -